KEBAJIKAN PELAJAR JOHOR DI PERANTAUAN TERUS TERPELIHARA

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor bersama pelajar-pelajar Johor di luar negara yang sedang menuntut di Mesir. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh komitmen dalam menjaga kebajikan pelajar Johor di luar negara khususnya mereka yang menuntut di Jordan, Maghribi dan Mesir selari dengan aspirasi pembangunan modal insan negeri.
Menerusi program ramah mesra dan lawatan kerja, bantuan kewangan disalurkan secara berfokus bagi meringankan kos sara hidup pelajar di samping memperkasa peranan persatuan pelajar sebagai saluran sokongan kebajikan yang berkesan.
Di Mesir, kebajikan pelajar diperkasa melalui kerja baik pulih Rumah Johor Rabaah dan Rumah Johor Hayyun Thamim di Kaherah yang kini hampir siap, sekali gus meningkatkan keselesaan kediaman harian pelajar, jelas Ameera Huda Ghazali dari Universiti Al-Azhar.
Kerja naik taraf berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM468,633.31 merangkumi penambahan kemudahan asas seperti mesin pengering pakaian dan perkhidmatan WiFi bagi menyokong kesejahteraan pelajar.
Bagi Ahmad Syamel Samsuddin dari Universiti Mu’tah, Jordan, perhatian berterusan Kerajaan Johor memberi keyakinan bahawa kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan termasuk melalui penyediaan insentif dan dermasiswa di bawah Belanjawan Johor 2026.
Manakala Munqiz Rushda Abdul Rashid, Universiti Al-Qarawiyyin, Fes, Maghribi pula menyifatkan bantuan yang diterima sebagai sokongan penting bagi memastikan kelangsungan pengajian dan kesejahteraan kehidupan di perantauan.
Sokongan berterusan tersebut turut menyuntik semangat kepada pelajar untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang dan kembali menyumbangkan kepakaran demi pembangunan negeri serta Bangsa Johor secara keseluruhannya.
#JohorSafeZone
#MAINJ
#JAINJ
#PendidikanJohor
#PelajarJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


