KERAJAAN JOHOR AKAN MOHON NAIK TARAF HOSPITAL KULAI


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan lawatan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai bagi memantau fasiliti dan perkidhmatan operasi hospital tersebut, semalam. | Sumber foto: Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus komited dalam memastikan fasiliti dan perkhidmatan kesihatan di negeri ini, berada di tahap yang terbaik.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, komitmen itu mampu direalisasikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

 

Menurutnya, kunjungannya ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai, semalam, mendapati hospital mula beroperasi sejak tahun 90-an itu perlu ditingkatkan fasiliti dan perkhidmatannya.

 

“Hospital Kulai sudah mula beroperasi sejak tahun 90-an, masa tu Kulai belum lagi macam sekarang yang ada pembangunan pesat.

 

“Kini hospital Kulai yang hanya berkapasiti 97 katil perlu menampung seluruh daerah Kulai. Sudah pasti ia tidak mencukupi. Banyak kes disini yang perlu dipindah ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi rawatan selanjutnya.

 

“Jabatan kecemasan hospital pula hanya ada satu ruang kecil di tepi bagi pesakit dan waris untuk menunggu. Ruang ni amat terhad dan panas,” katanya di Facebook rasminya.

 

Ketika lawatannya, Tian Soon berkata, beliau bersetuju menyumbangkan dua unit penyejuk udara kepada pihak hospital.

 

Ujarnya, beliau juga telah mendapat persetujuan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi memperuntukkan RM50,000 bagi menambah ruang menunggu demi keselesaan pesakit dan waris.

 

“Selain itu, jabatan kecemasan juga memerlukan ruang isolasi yang baru, kerana sekarang ia hanya diasingkan dengan kayu dan plastik sahaja. Menteri Besar Johor juga bersetuju menaiktaraf kawasan ini dengan kos RM30,000.

 

“Dengan peruntukan sejumlah RM80,000 ini, kerajaan negeri berharap ia dapat meningkatkan perkhidmatan perubatan hospital dan terus memanfaatkan warga Kulai,” katanya.

 

Beliau berkata, keadaan wad sama seperti bangunan hospital lama dan tiada penghawa dingin turut diambil maklum dan diberikan perhatian.

 

“Perlahan-lahan kita bantu tukar dan ubah. Kerajaan Johor melalui Jabatan kesihatan Negeri Johor akan berbincang dan memohon dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menaiktaraf fasiliti dan menaikkan mutu perkhidmatan Hospital Kulai,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor