KERAJAAN JOHOR BERTINDAK SEGERA TANGANI PENCEMARAN ANAK SUNGAI DI TANGKAK

Kenyataan media Pejabat Daerah Tangkak

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri bertindak segera susulan aduan pencemaran anak sungai di FELDA Sri Jaya, Bukit Serampang, Tangkak, dengan melakukan turun padang pada 22 Januari lalu, bagi melaksanakan pemulihan, pemantauan dan penguatkuasaan terhadap insiden berkenaan.

 

Tindakan proaktif tersebut melibatkan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) Tangkak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd.

 

Bagi tujuan pemulihan dan pembersihan, PPVD Tangkak telah menjalankan pemeriksaan dan mengesan kebocoran kolam kumbahan sebuah ladang khinzir yang terletak berhampiran.

 

Pembaikan segera telah diarahkan dengan kebocoran berjaya dihentikan dan pelepasan Effective Microorganism (EM) dilaksanakan bagi membantu penguraian sisa organik serta mengurangkan kesan bau.

 

PPVD Tangkak bersama JPS turut mengarahkan kerja-kerja pembersihan di kawasan kebun yang terkesan dan perparitan sepanjang Sungai Penyalai yang dilaksanakan bermula 23 hingga 31 Januari.

 

Manakala JAS pula melaksanakan pemantauan berterusan melalui Stesen Pengawasan Kualiti Air Sungai Automatik di Sungai Muar bagi memastikan keselamatan dan kualiti bekalan air awam sentiasa terjamin.

 

Dalam aspek keselamatan bekalan air, JAS, BAKAJ dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd turut menjalankan ujian kualiti air secara berterusan dan mengesahkan bekalan air terawat selamat digunakan.

 

Jabatan dan agensi berkaitan juga sedang menjalankan siasatan selaras peruntukan undang-undang serta peraturan berkuat kuasa, dengan sebarang dapatan akan ditangani mengikut tatacara yang ditetapkan.

 

Kerajaan Johor akan terus melaksanakan pemantauan rapi bagi memastikan keselamatan persekitaran dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.

 

#JohorSafeZone
#Pencemaran
#FELDASriJaya
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor