KERAJAAN JOHOR, GRAB TEROKA KERJASAMA PACU SEKTOR PELANCONGAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan perbincangan bersama pihak Grab Malaysia bagi meneroka pelbagai inisiatif kerjasama strategik yang mampu memperkukuh sektor pelancongan dan pengangkutan Johor menjelang Tahun Melawat Johor 2026. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha merancakkan sektor pelancongan dan pengangkutan di negeri ini menjelang Tahun Melawat Johor 2026 melalui jalinan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Grab Malaysia.

 

Bagi merealisasi hasrat itu, pelbagai agenda penting telah dibincangkan oleh Kerajaan Johor dan Grab Malaysia antaranya termasuk mengemas kini berkaitan Perjanjian Perjalanan Rentas Sempadan serta cadangan kolaborasi menyeluruh antara Grab Malaysia dan Tourism Johor bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Johor 2026 secara inklusif dan berimpak tinggi.

 

Turut dibincangkan ialah potensi kerjasama rentas sempadan melibatkan Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia dan Singapura dengan penyertaan pihak Grab serta penyedia pengangkutan awam lain dalam merancakkan pergerakan keluar masuk pelancong serta rakyat di kedua-dua negara terutama di kawasan sempadan seperti Tambak Johor dan Link Kedua.

 

Satu platform bersepadu turut dicadangkan bagi memperkenalkan destinasi pelancongan utama di Johor kepada pelancong domestik dan antarabangsa dalam usaha membantu pelancong untuk mendapatkan maklumat dengan lebih mudah, sama ada secara dalam talian mahupun luar talian, sekali gus berupaya merancakkan sektor pelancongan negeri kelak.

 

Selain itu, menerusi kerjasama ini juga, ia secara tidak langsung dilihat mampu membuka ruang pertumbuhan ekonomi baharu melalui penciptaan peluang pendapatan kepada rakyat tempatan, memperkukuh jaringan pengangkutan pelancongan dan meningkatkan daya saing Johor sebagai destinasi pilihan pelancong, sekali gus menyokong aspirasi Johor sebagai sebuah negeri moden dan bersedia menerima kemasukan pelancong.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan perbincangan bersama pihak Grab Malaysia bagi meneroka pelbagai inisiatif kerjasama strategik yang mampu memperkukuh sektor pelancongan dan pengangkutan Johor menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

#VisitJohor2026
#GrabMalaysia
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor
#BangsaJohor