KERAJAAN JOHOR PERKASA PENGANGKUTAN AWAM MENERUSI BMJ


Kerajaan Johor bersama 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah membelanjakan sebanyak RM28 juta untuk memastikan pengoperasian BMJ berjalan lancar. | Foto PAJ.

 

Kerajaan Johor terus memperkukuh perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) sebagai tonggak utama dalam menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan menyeluruh kepada rakyat di seluruh Negeri Johor.

 

Di bawah pengurusan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), BMJ telah memberikan pelbagai manfaat terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam ini.

 

Sehingga kini, Kerajaan Negeri bersama 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah membelanjakan sebanyak RM28 juta untuk memastikan pengoperasian BMJ berjalan lancar merangkumi 65 peratus rangkaian laluan di seluruh Johor.

 

Selain itu, BMJ turut menyokong pelbagai acara besar di negeri ini seperti perkhidmatan ‘shuttle bus’ percuma ke Stadium Sultan Ismail (SSI), Iskandar Puteri untuk perlawanan Liga Malaysia melibatkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), serta kemudahan pengangkutan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru melalui lokasi yang ditetapkan.

 

Terbaru, PAJ melalui BMJ telah memperluaskan perkhidmatannya dengan menyediakan empat ‘shuttle bus’ percuma bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke Zoo Johor setiap 15 minit dari tempat letak kereta Penjara Ayer Molek, Johor Bahru yang akan dibuka pada 31 Ogos ini.

 

Secara keseluruhannya, Bas Muafakat Johor bukan sahaja menyediakan pengangkutan awam yang menyeluruh, tetapi juga mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Johor untuk memastikan rakyat menikmati perkhidmatan terbaik selaras dengan agenda Maju Johor 2030.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor