KERAJAAN JOHOR RANCANG WUJUDKAN PELAN KEMAJUAN PENDIDIKAN ISLAM

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Negeri Johor Kali ke-27 Tahun 2025 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Mersing – Kerajaan Negeri merancang untuk merangka dan mewujudkan Pelan Kemajuan Pendidikan Islam Johor untuk memastikan pelaksanaan pembangunan pendidikan Islam secara menyeluruh, tersusun dan berpandukan hala tuju yang jelas.

 

Pelan berkenaan bakal menjadi dokumen dasar utama yang menentukan perancangan jangka panjang untuk memperkukuhkan sistem pendidikan Islam sebagai tunjang penting pembangunan sahsiah dan kecemerlangan generasi muda di negeri ini.

 

Pelbagai perkara akan diberikan tumpuan dalam pelan itu antaranya keperluan pembinaan sekolah agama baharu, penambahan perjawatan serta peningkatan gred dan penggajian guru agar lebih setara dengan sistem pendidikan arus perdana.

 

Sementara itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sumbangan bantuan bilik guru sebanyak RM2.93 juta kepada 583 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dan tiga buah Sekolah Menengah Agama Negeri Johor (SMANJ) secara berfasa pada tahun ini.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Peringkat Negeri Johor Kali ke-27 Tahun 2025 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, hari ini.

 

Pada sambutan berkenaan, pengiktirafan diberikan kepada Ustaz Minhad Saaidon dari Tangkak dan Ustazah Milah Yoot dari Segamat yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru bagi kategori SAKJ, manakala Haji Mohd Khairudin Abu dari Pontian pula Tokoh Guru SMANJ.

 

Beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Jasa Khas Hari Guru, Anugerah Ikon Muda, Guru Inovasi, Guru Cemerlang Tadika Agama Johor (TAJ), Guru Cemerlang Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) selain prestasi cemerlang sekolah-sekolah agama dalam pelbagai kategori.

 

#PendidikanIslam
#SAKJ
#SMANJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor