KERAJAAN JOHOR RANGKA MODUL SILIBUS ANTARABANGSA BERSAMA MARA

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir pada Program Kemahiran Asas Literasi dan Numerasi (KALIS) sempena Minggu TFM 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana, Pasir Gudang. | Foto Aznan Tamin
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor kini sedang merangka perancangan berkaitan modul pendidikan komprehensif bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi tujuan memperkukuh pelaksanaan pentaksiran standard berasaskan ‘International General Certificate of Secondary Education (IGCSE)’ di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
Kerjasama strategik ini menjadi antara usaha penting dalam memperkasa sistem pendidikan negeri agar ia lebih kompetitif dan selari dengan standard global terutama membabitkan enam mata pelajaran utama IGCSE iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
Bagi tujuan itu, fokus utama perbincangan bersama MARA tertumpu kepada usaha menyepadukan kandungan silibus IGCSE yang kini turut diguna pakai di sekolah-sekolah di bawah kelolaan MARA untuk dimasukkan ke dalam sistem pendidikan negeri ini. Bagaimanapun, usaha ini bukan bertujuan untuk menggantikan kandungan modul silibus sedia ada, tetapi ia lebih berfungsi sebagai langkah penambahbaikan dan menepati persekitaran semasa.
Ketika ini, usaha merangka modul berkenaan sedang berada di fasa perbengkelan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, selain Kerajaan Johor juga menyasarkan untuk memuktamadkan komposisi kandungan serta pendekatan modul terbabit menjelang akhir bulan Jun bagi memastikan pelaksanaannya dapat dimulakan secara berperingkat di sekolah-sekolah yang terlibat.
Pelaksanaan awal modul pendidikan ini akan dilaksanakan di dua buah sekolah menengah SRBJ iaitu SMK Seri Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara bagi membantu pelajar dan guru di sekolah berkenaan dapat menyesuaikan diri dengan pendekatan pentaksiran IGCSE.
Terdahulu, YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir pada Program Kemahiran Asas Literasi dan Numerasi (KALIS) sempena Minggu TFM 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cendana, Pasir Gudang, baru-baru ini.
#PendidikanJohor
#PendidikanGlobal
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor