KERAJAAN JOHOR SAMBUT CADANGAN PELAKSANAAN SEMULA HUKUMAN ROTAN

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Program JTDC Mega Kerjaya MyFutureJobs PIS x MBPG di UTC Pasir Gudang. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#PasirGudang – Kerajaan Johor menyambut baik cadangan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, berhubung cadangan pelaksanaan semula kaedah hukuman rotan di sekolah dengan berpandukan garis panduan yang akan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif sendiri untuk merangka strategi bersepadu bagi memperkukuh aspek disiplin dan sahsiah pelajar melalui pelaksanaan pendekatan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan serta komuniti setempat.
Bagi tujuan itu, sebuah taskforce juga telah diwujudkan bagi menyelaras usaha pencegahan dan pemantauan salah laku pelajar serta pelaksanaan semula hukuman rotan di sekolah melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor serta Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
Penubuhan taskforce ini bertujuan mempercepatkan tindakan dan penyelesaian terhadap kes-kes disiplin di sekolah, selain untuk memastikan pendekatan yang digunakan kelak adalah bersifat mendidik dan tidak bersifat hukuman semata-mata meskipun kes disiplin di Johor tidak berada pada tahap membimbangkan.
Antara strategi dirangka adalah pelaksanaan program kesedaran dan kaunseling yang akan dilaksanakan di sekolah dengan kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain ia akan memperkukuhkan lagi peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) melalui pemantauan secara berkala ke sekolah-sekolah, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot.
Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti sekolah turut digerakkan secara aktif dalam taskforce tersebut bagi memperkukuh peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah pelajar di luar waktu persekolahan. Perkara ini perlu kerana didikan dan pengawasan di rumah juga sama penting dalam usaha mendisiplinkan pelajar di sekolah.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Program JTDC Mega Kerjaya MyFutureJobs PIS x MBPG di UTC Pasir Gudang, hari ini.
#JohorSafeZone
#PelaksanaanRotan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



