KERAJAAN JOHOR SASAR PEMBINAAN 100,000 RUMAH MAMPU MILIK MENJELANG 2030

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Program Mega Johor Housing One Stop Center (J-Home OSC) RMMJ Daerah Johor Bahru di Dewanraya Taman Bukit Indah. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus komited dan agresif dalam menyediakan kemudahan perumahan mampu milik untuk Bangsa Johor menerusi pelbagai langkah praktikal dan proaktif.

 

Antara usaha yang sedang digerakkan bagi menjayakan aspirasi ini termasuk mengenal pasti tanah-tanah milik kerajaan yang berpotensi untuk dimajukan, antaranya tanah milik Kerajaan Persekutuan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kempas dan juga beberapa bidang tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

 

Sekiranya tanah tersebut tidak dimanfaatkan untuk tujuan asal, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya ia dikembalikan bagi tujuan pembangunan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) demi memastikan tanah kerajaan berkenaan boleh digunakan dengan sebaiknya demi kepentingan rakyat, sekali gus menyokong hasrat membina 100,000 kediaman RMMJ yang akan dilaksanakan secara kolaborasi strategik bersama MAINJ dan Kerajaan Persekutuan.

 

Selain itu, komitmen Kerajaan Johor dalam menyediakan perumahan mampu milik juga turut mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan menerusi pelaksanaan tiga projek Residensi Madani di Johor melibatkan 400 unit sedang dibangunkan di Bandar Sri Impian, Kluang; Larkin (400 unit) dan Sembrong (400 unit) yang secara tidak langsung memperluas akses kepada kediaman yang selesa dan berkualiti kepada rakyat.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut melaksanakan pelbagai inisiatif perumahan menerusi peruntukan berjumlah RM245.16 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan rumah untuk golongan B40, RM38.13 juta bagi membangunkan 669 unit Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) yang akan memanfaatkan pasangan muda dan golongan bujang yang belum memiliki rumah sendiri serta RM30.15 juta lagi diperuntukkan untuk membaik pulih rumah daif di seluruh Negeri Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Program Mega Johor Housing One Stop Center (J-Home OSC) RMMJ Daerah Johor Bahru di Dewanraya Taman Bukit Indah, hari ini.

 

Hadir sama ialah YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor; YB Tuan Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor dan YB Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

 

#RumahMampuMilikJohor
#JHomeOneStopCentre
#RMMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor