KERAJAAN JOHOR SEDIA SUBSIDI RMMJ SEHINGGA RM100,000

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mengingatkan orang ramai supaya kekal waspada apabila menguruskan permohonan RMMJ. | Foto Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri komited menyediakan kediaman berkualiti mampu dimiliki menerusi pemberian subsidi sehingga RM100,000 bagi setiap unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) sekali gus menjadikan Johor antara negeri paling progresif dalam agenda perumahan rakyat.

 

Menerusi inisiatif berkenaan, setiap unit RMMJ yang dijual pada harga RM150,000 apabila siap dalam tempoh dia tahun berbanding nilai sebenar antara RM250,000 hingga RM300,000 dengan perbezaan kos ditampung melalui subsidi Kerajaan Negeri dan konsep subsidi silang oleh pemaju.

 

Model pembinaan RMMJ menggunakan tanah kerajaan yang diserahkan semula oleh pemaju untuk dibangunkan kontraktor, agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa melibatkan kos tanah seterusnya membantu mengurangkan kos keseluruhan projek.

 

Antara contoh kejayaan model itu adalah projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIBJ) terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) apabila kediaman jenis ‘landed’ ditawarkan pada harga RM150,000 walaupun nilai pasaran mencecah RM300,000, manakala unit seluas 1,000 kaki persegi dijual sekitar RM250,000 berbanding nilai semasa iaitu RM500,000.

 

Pemaju pula melaksanakan projek pasaran bebas di kawasan sama dengan sebahagian daripada keuntungannya disalurkan untuk membiayai pembangunan RMMJ yang menjadikan mekanisme subsidi silang itu asas kepada penyediaan kediaman benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat.

 

Selain itu, Kerajaan Johor mengingatkan orang ramai agar berwaspada kerana tiada ejen perumahan dilantik untuk menguruskan permohonan RMMJ dan segala maklumat rasmi hanya boleh diakses melalui sistem dalam talian e-Rumah Johor di laman sesawang https://erumah.johor.gov.my.

 

#PerumahanJohor
#RumahMampuMilikJohor
#RMMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor