KERAJAAN JOHOR TURUT FOKUS PERUMAHAN PENDUDUK LUAR BANDAR

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor berkata demikian ketika menjawab bersekali mengenai usaha membina perumahan untuk masyarakat luar bandar pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan rakyat khususnya membabitkan keperluan kediaman komuniti luar bandar melalui dua inisiatif perumahan baharu iaitu Rumah Kasih Johor (RKJ) dan Rumah Prihatin Johor (RPJ) bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak ketinggalan untuk memiliki kediaman sendiri.
Inisiatif RKJ telah diwujudkan sebagai program rumah percuma untuk golongan miskin tegar yang juga pemegang Kad e-Kasih dengan peruntukan melibatkan sebanyak RM67 juta. Bagi tujuan itu, Kerajaan Johor menyasarkan pembinaan 500 unit perumahan RKJ menjelang penghujung 2026.
Setakat ini, 50 unit RKJ telah diserahkan kepada penerima, manakala 120 unit lagi sedang dalam pembinaan, sementara baki 330 unit pula akan disiapkan pada sekitar tahun 2025 hingga 2026 ini. Inisiatif RKJ ini juga akan menyasarkan kepada keluarga luar bandar yang memiliki tanah atau geran bersama tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk mendirikan rumah.
Selain itu, inisiatif RPJ pula telah direka khusus untuk golongan B40 yang tidak tersenarai dalam sistem daftar e-Kasih. Projek ini akan bermula dengan dua projek rintis iaitu sebanyak 10 unit RPJ di daerah Kulai dan 10 unit RPJ di daerah Kluang, selain kemungkinan inisiatif yang sama akan turut dilaksanakan di daerah lain kelak.
Inisiatif ini secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan tiada kawasan luar bandar yang terpinggir daripada menerima manfaat daripada kemakmuran ekonomi dan Kerajaan Johor juga beriltizam bahawa usaha memperbanyakkan inisiatif yang sama akan turut diperluaskan lagi sekiranya ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat.
Dengan gabungan RKJ dan RPJ, Kerajaan Johor membuktikan iltizam untuk terus merapatkan perbezaan jurang antara penduduk bandar dan desa serta akan terus berusaha meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar melalui penyediaan rumah percuma serta kediaman mampu milik yang bersasar.
Terdahulu YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor berkata demikian ketika menjawab bersekali mengenai usaha membina perumahan untuk masyarakat luar bandar pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
#WTN
#DewanNegeri
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor