KERAJAAN NEGERI GIAT PERJUANGKAN TAMBAHAN PETUGAS HOSPITAL PASIR GUDANG

Kerajaan Negeri komited untuk memastikan kemudahan kesihatan di negeri ini, terus diperkasa agar setiap rakyat Johor mendapat akses kepada rawatan berkualiti, selesa dan selamat. | Foto FB AH SOON

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terus berusaha dalam memastikan Hospital Pasir Gudang dapat dibuka sepenuhnya dan beroperasi secara rasmi pada Januari ini.

 

Sehingga kini, perbincangan dan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih giat dilakukan untuk mempercepatkan penempatan tambahan tenaga kerja seperti doktor, jururawat dan petugas sokongan di hospital berkenaan.

 

Sejak Julai lalu, pelbagai persiapan dilakukan untuk memastikan hospital baharu itu dapat beroperasi dengan lancar dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, jelas YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.

 

Meskipun KKM sudah menempatkan petugas kesihatan ke Hospital Pasir Gudang secara berperingkat, jumlah tenaga kerja masih belum sepenuhnya diisi di mana pada masa sama pelbagai kelengkapan dan peralatan perubatan juga mula tiba.

 

Hospital Pasir Gudang juga kini sedang menjalankan fasa ujian operasi bagi memastikan semua sistem, aliran kerja dan peralatan berada dalam keadaan baik sebelum dibuka sepenuhnya, namun beberapa klinik pakar telah mula menerima pesakit.

 

Pesakit dipindahkan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) itu memberi manfaat besar kepada mereka yang tinggal berhampiran Pasir Gudang kerana dapat menjimatkan masa perjalanan serta tempoh menunggu rawatan.

 

Pada masa sama, langkah berkenaan turut membantu mengurangkan kesesakan pesakit di dua hospital terbabit di samping beberapa klinik kesihatan kerajaan di sekitar kawasan Pasir Gudang telah mula merujuk kes ke hospital tersebut.

 

Selain itu, Jabatan Kecemasan Hospital Pasir Gudang kini beroperasi secara percubaan untuk kes kecemasan tertentu manakala dua wad pesakit iaitu lelaki dan wanita yang menempatkan 37 katil buat permulaan sudah dibuka.

 

Kerajaan Negeri komited untuk memastikan kemudahan kesihatan di negeri ini, terus diperkasa agar setiap rakyat Johor mendapat akses kepada rawatan berkualiti, selesa dan selamat selaras dengan matlamat Maju Johor 2030.

 

#JohorSafeZone

#HospitalPasirGudang

#KesihatanBerkualiti

#BangsaJohor

#MediaDigitalJohor

#SahihTepatPantas

#MajuJohor