KERAJAAN NEGERI JOHOR PRIHATIN TERHADAP MANGSA BANJIR

YB Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) menzahirkan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor terhadap kebajikan mangsa banjir menerusi lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SJKC Chiao Ching, Endau, Mersing susulan Monsun Timur Laut 2025/2026. | Foto Pejabat Daerah Mersing

 

Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL 

 

#IskandarPuteri – Keprihatinan Kerajaan Negeri Johor terhadap kebajikan rakyat khususnya mereka yang berdepan dengan musibah banjir terus diperkukuh menerusi lawatan YB Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching, Endau, Mersing bagi meninjau keadaan mangsa banjir berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

 

Lawatan beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) ini melambangkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap aspek pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara cekap dan menyeluruh dengan penekanan terhadap keselesaan mangsa, penyelarasan bantuan serta kesiapsiagaan agensi pelaksana di lapangan.

 

Sehingga kini, seramai 355 mangsa dari 92 keluarga kini berlindung di tiga PPS telah dibuka di daerah Mersing selepas kediaman mereka di lima perkampungan di daerah itu mula terjejas susulan kenaikan paras air.

 

Terdahulu, YB Dato’ Ismail turut mendengar taklimat berkaitan pengurusan banjir dan operasi PPS di daerah Mersing daripada YBhg. Tuan Haji Jamil Hasni Abdullah, Pegawai Daerah Mersing. Taklimat berkenaan merangkumi penyelarasan antara agensi, kesiapsiagaan operasi serta langkah penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan di peringkat daerah.

 

Turut hadir ialah YBhg Encik Ahmad Hashim Selamat, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ); YBhg Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor serta Ketua Jabatan, Pegawai Tadbir Negeri Johor Daerah Mersing, Penghulu dan Ketua Kampung yang terlibat banjir.

 

Beliau kemudiannya turut meluangkan mangsa untuk menyantuni mangsa banjir di PPS berkenaan dengan menyampaikan kit bencana, selain turut meneliti aspek pengurusan dan operasi PPS bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan keselesaan mangsa sentiasa diberi keutamaan sepanjang tempoh pemindahan ini.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan terus memantau perkembangan semasa dan memperkukuh penyelarasan antara agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa banjir sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh bencana ini.

 

Sejurus selesai lawatan itu, YB Dato’ TSUK turut mengadakan lawatan pemantauan ke Kampung Tenglu Laut bagi meneliti pelaksanaan projek rintis Pengurusan Banjir Daerah Mersing yang dilaksanakan sebagai antara usaha strategik bagi memperkukuh mitigasi banjir dan kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.

 

#JohorSafeZone
#MonsunTimurLaut
#MTL2025
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor