JOHOR TIDAK ZALIM ISU PAJAKAN TANAH RIZAB MELAYU

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri sentiasa berpegang pada prinsip keadilan dan tidak pernah bersikap zalim terhadap penduduk termasuk melaksanakan usaha berterusan bagi memastikan hak milik tanah khususnya di kampung-kampung tradisi termasuk Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru terus dipelihara serta dihormati.
Komitmen berkenaan diterjemah menerusi langkah-langkah untuk mempercepatkan proses pembaharuan pajakan tanah di kawasan terbabit dengan tujuh permohonan sudah dilulus dan diserahkan kepada pemiliknya sekali gus mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasa komuniti kampung tradisi bandar itu.
Kerajaan Negeri turut menegaskan status pajakan bukan satu bentuk penafian terhadap hak, sebaliknya merupakan pegangan sah yang diiktiraf di sisi undang-undang dan tetap menjamin pemilikan penuh kepada rakyat termasuk urusan menjual, mewarisi dan membangunkan tanah mengikut syarat serta perundangan sedia ada.
Sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan menyeluruh, Rancangan Khas Kawasan (RKK) Perkampungan Tradisi Melayu Johor Bahru juga sedang digubal dalam usaha memastikan kampung-kampung terlibat tidak terpinggir dan diintegrasikan dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) secara terancang serta inklusif.
Kerajaan Negeri percaya kemajuan Johor tidak harus menafikan kewujudan kampung tradisi, tetapi berteraskan nilai sejarah, budaya dan komuniti yang telah lama bertapak seterusnya menjamin hak milik, kesejahteraan penduduk serta memastikan perkampungan berkenaan terus membangun dengan acuan sendiri.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga kekal berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan Tanah Rizab Melayu yang tidak akan dikompromi dan tidak boleh dipindah milik kepada pihak lain serta akan terus dipelihara sebagaimana termaktub di dalam Enakmen Rizab Melayu Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#TanahRizabMelayu
#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor