KERAJAAN NEGERI KUTUK SERANGAN BALAI POLIS ULU TIRAM


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Negeri mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan ekstrem termasuk insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota dan mencederakan seorang anggota pada Jumaat lalu.

 

Selain menzahirkan komitmen untuk bekerjasama dengan semua agensi keselamatan agar insiden sama tidak berulang di negeri ini, Kerajaan Negeri turut berdiri teguh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memerangi ekstremisme.

 

Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota yang terkorban, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said serta anggota yang cedera, Koperal Mohd Hasif Roslan.

 

Selain menitipkan doa ke atas roh kedua-dua Allahyarham, Kerajaan Negeri turut mendoakan semoga Mohd Hasif yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) segera sembuh dan kembali pulih seperti sedia kala.

 

Kesemua Ahli Dewan Negeri Johor beragama Islam juga menghadiahkan surah Al-Fatihah kepada wira negara yang terkorban manakala bukan beragama Islam pula bertakafur berdoa mengikut kepercayaan masing-masing.

 

Penzahiran pendirian tersebut dibuat oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor