KERAJAAN NEGERI PERKASA RUMAH KASIH JOHOR, PERKENAL RUMAH PRIHATIN JOHOR

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan RKJ dan RPJ di Ramada Meridin Hotel, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menjunjung tinggi titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk menyediakan kediaman berdaya huni kepada golongan B40 dan miskin tegar dengan memperkasa inisiatif Rumah Kasih Johor (RKJ) serta Rumah Prihatin Johor (RPJ).

 

Sejak bermula tahun 2023, program RKJ yang melibatkan perancangan pembinaan 500 unit rumah dengan peruntukan melebihi RM67.5 juta itu telah disiap dan diserahkan 50 unit kepada penerima diikuti 120 unit sedang dibina manakala 165 unit lagi di peringkat pelaksanaan.

 

Inisiatif RKJ kini disokong dengan inisiatif baharu RPJ yang bersifat lebih inklusif dengan peluasan syarat kelayakan kepada golongan B40 yang tidak tersenarai dalam eKasih di mana pemilihan penerima dilaksanakan secara telus dan adil melalui Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) Pembasmian Kemiskinan.

 

RPJ menyasarkan pemohon yang memiliki tanah sendiri tetapi tidak berkemampuan membina rumah dengan pemberian subsidi sebanyak RM30,000 daripada Kerajaan Negeri dan hanya menanggung baki kos antara RM36,000 hingga RM56,000 bergantung kepada jenis kediaman.

 

Projek perintis RPJ bermula di DUN Machap dan Bukit Permai pada September depan seterusnya akan diperluas ke semua DUN di negeri ini secara berperingkat, bagi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan kediaman sendiri.

 

RPJ turut mempertimbangkan pemohon yang berkongsi tanah dengan keluarga dan belum menerima bantuan rumah melalui kerjasama erat antara Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Pejabat Daerah serta wakil rakyat di setiap peringkat.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan RKJ dan RPJ di Ramada Meridin Hotel, Iskandar Puteri, hari ini.

 

#RumahKasihJohor
#RumahPrihatinJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor