KERAJAAN NEGERI TIDAK BERPELUK TUBUH


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Skudai. | Foto Onn Hafiz Ghazi


 

#IskandarPuteri – Menginsafi cabaran dan ujian dihadapi mangsa banjir di lima daerah yang terjejas terutama di bulan Ramadan, Kerajaan Negeri sedang dan akan terus menggerakkan usaha untuk menyelaras bantuan diperlukan.

 

Tidak akan sesekali berpeluk tubuh, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor memaklumkan usaha digerakkan termasuk menyediakan segala keperluan asas itu bagi memastikan bekalan makanan adalah mencukupi agar kebajikan mangsa terjamin.

 

Seluruh Bangsa Johor yang berada di kawasan berisiko tinggi dirayu supaya berwaspada, menjaga keselamatan diri dan keluarga, mematuhi arahan pihak berkuasa serta tidak mengambil risiko membahayakan nyawa.

 

Selain itu, rakyat di negeri ini turut diajak untuk bersama memanjatkan doa kepada Allah SWT agar hujan segera reda dan keadaan kembali pulih seperti sedia asal di samping mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada mangsa yang terjejas.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor yang turut disertai YB Puan Marina Ibrahim, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Skudai menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Skudai, semalam.

 

Sehingga jam 10 pagi tadi, seramai 10,851 penduduk daripada 3,067 keluarga ditempatkan di 99 PPS yang beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di lima daerah Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

 

#Banjir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor