KERJASAMA STRATEGIK PACU TRANSFORMASI SEKTOR SAWIT JOHOR

Sesi pertukaran MoU antara JPG, YPJ Plantations dan PIJ Holdings di Sunway Hotel Bigbox, Iskandar Puteri. | Foto Johor Plantations Group Berhad (JPG)
#IskandarPuteri – Johor Plantations Group Berhad (JPG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dua syarikat berkaitan Kerajaan Negeri, iaitu YPJ Plantations Sdn Bhd (YPJP) dan PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJH) dalam usaha memacu transformasi menyeluruh sektor minyak sawit di negeri ini.
Langkah strategik yang akan melibatkan kawasan seluas 13,202 hektar di bawah YPJP dan PIJH ini akan memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan produktiviti melalui inisiatif bersepadu seperti perolehan dan pemprosesan buah tandan segar serta khidmat nasihat kelestarian yang turut menekankan pensijilan minyak sawit mampan.
Kerjasama ini turut merangkumi pelaksanaan perolehan berpusat bagi input utama seperti baja serta program latihan dan kemahiran bagi memperkasa tenaga kerja ladang ke arah membina kapasiti modal insan dan pertumbuhan industri dalam tempoh jangka panjang.
Sebagai pemain utama dalam industri perladangan negara, JPG menzahirkan komitmen untuk memanfaatkan kekuatan bersama dalam membina sebuah ekosistem perniagaan tani yang lebih cekap, mampan dan berdaya saing.
Gabungan kepakaran antara syarikat milik Kerajaan Negeri dan entiti korporat ini juga dijangka mampu membuka kunci nilai jangka panjang, melonjakkan standard pengurusan perladangan serta menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai peneraju model perladangan lestari di peringkat nasional.
Untuk rekod, YPJP ialah anak syarikat Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) terlibat dalam perdagangan minyak sawit dan produk berkaitan, manakala PIJH yang diperbadankan di bawah Perbadanan Islam Johor (PIJ) pula menjalankan perniagaan dalam sektor hartanah, perladangan, pembuatan, utiliti dan pembangunan industri halal.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor hadir menyaksikan pertukaran MoU antara JPG, YPJ Plantations dan PIJ Holdings di Sunway Hotel Bigbox, Iskandar Puteri, kelmarin.
Hadir sama, YBhg. Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp; YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ismail Bakar, Pengerusi JPG dan YBrs Mohd Faris Adli Shukery, Pengarah Urusan JPG.
#JohorPlantations
#YPJPlantations
#PIJHoldings
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor