KESEJAHTERAAN TEMPAT TINGGAL RAKYAT AGENDA KEKAL KELUARGA DIRAJA JOHOR

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengutamakan isu pemilikan rumah serta kemudahan tempat tinggal kepada Bangsa Johor. | Foto Jabatan Penerangan Negeri Johor

 

#IskandarPuteri – Isu pemilikan rumah serta kemudahan tempat tinggal yang selesa dan mampu dimiliki sentiasa menjadi keutamaan kepada Keluarga DiRaja Johor demi kesejahteraan rakyat, khususnya membabitkan golongan B40.

 

Selain itu, sejak dahulu lagi, Keluarga DiRaja Johor juga sentiasa berbesar hati menghulurkan pelbagai jenis bantuan dan sumbangan apabila berlaku bencana alam atau sebarang musibah lain yang melanda Bangsa Johor.

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, bertitah bahawa usaha ini telah dizahirkan melalui inisiatif Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) yang bertujuan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan B40, dapat memiliki kediaman pada harga yang munasabah tanpa terbeban oleh komitmen kewangan yang terlalu tinggi.

 

Sehingga Mac lalu, sebanyak 21,000 unit RMMJ telah berjaya disiapkan, iaitu 70 peratus daripada jumlah sasaran keseluruhan sebanyak 30,000 unit menjelang tahun 2026, dengan 16,000 unit telah pun didiami. Ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program ini dalam memenuhi keperluan perumahan rakyat.

 

Sementara itu, Baginda Pemangku Sultan Johor turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang menjayakan agenda sifar miskin tegar menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, apabila seramai 4,378 ketua isi rumah (KIR) disifarkan pada 31 Julai tahun lalu, manakala 234 KIR lagi berjaya disifarkan pada 29 April yang lalu.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#WTN
#DewanNegeriJohor15
#RMMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor