KFL ENJIN PERTUMBUHAN EKONOMI JOHOR


Kawasan Perindustrian Kulai. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Inisiatif mesra pelaburan, Kulai Fast Lane (KFL) digerakkan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) terus menjadi nadi kerancakan pertumbuhan ekonomi daerah Kulai dan turut memacu kepesatan pembangunan ekosistem perniagaan yang memberi limpahan kepada Johor secara keseluruhan.

 

Mula dilaksanakan pada 11 Mei 2022 , inisiatif signifikan tersebut menjadi strategi serampang dua mata dalam menjadikan Kulai sebagai destinasi pilihan pelaburan dan sebuah kawasan perindustrian moden yang mendorong pembukaan peluang pekerjaan daripada aktiviti dilaksanakan.

 

KFL yang juga merupakan sebahagian daripada Greater Johor Bahru sehingga kini sudah berjaya menarik pelaburan asing dan tempatan bernilai RM40.7 bilion melibatkan kawasan seluas 1,642 hektar di Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Sedenak dan Senai Airport City (SAC) di Senai.

 

Untuk memperkasa inisiatif berkenaan, Mohd Fahmi Salam, Yang Dipertua MPKu menetapkan agar Kulai terus dikenali sebagai bandar mesra pelabur selain turut menumpukan soal perumahan mesra rakyat, penyediaan fasiliti kesihatan terbaik seterusnya menjadi daerah yang mampan dan holistik.

 

Hala tuju yang jelas sudah dibangunkan MPKu dengan kerjasama PLANMalaysia @ Johor melalui Kajian Rancangan Tempatan (RT) Kulai 2035 merangkumi perancangan pembangunan daerah bagi merealisasi potensi dimiliki sebagai bandar berdaya huni dan pintar.

 

Pada masa sama, MPKu berhasrat mengekalkan status Kulai sebagai bandar paling bahagia dengan memastikan masyarakat setempat menerima limpahan pembangunan ekonomi menerusi penyediaan kemudahan awam kondusif dan meningkatkan tahap perkhidmatan disediakan.

 

Inisiatif memperkukuh kesalinghubungan dengan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru turut disambut baik MPKu.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor