KKJ, KEJORA PERKASA KEMAHIRAN BELIA LUAR BANDAR

Seramai 20 belia luar bandar mengikuti latihan kemahiran pendawaian elektrik berteraskan keperluan industri selama tiga bulan melalui peruntukan keseluruhan sebanyak RM100,000, sekali gus membuka peluang peningkatan kebolehpasaran kerja kepada golongan sasaran terbabit. | Foto Kolej Kemahiran Johor
#IskandarPuteri – Kolej Kemahiran Johor (KKJ) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) terus memainkan peranan penting dalam memperkasa belia luar bandar menerusi pelaksanaan Program KEMBARA 2025, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam membangunkan modal insan berkemahiran di Negeri Johor.
Menerusi program berkenaan, seramai 20 belia luar bandar mengikuti latihan kemahiran pendawaian elektrik berteraskan keperluan industri selama tiga bulan melalui peruntukan keseluruhan sebanyak RM100,000, sekali gus membuka peluang peningkatan kebolehpasaran kerja kepada golongan sasaran terbabit.
Keberkesanan pendekatan latihan ini terserlah apabila 11 syarikat industri berkaitan elektrik menyatakan komitmen mereka untuk menawarkan peluang pekerjaan secara langsung kepada para peserta sempena Majlis Penutup Program Kemahiran Belia Luar Bandar Wilayah KEJORA yang berlangsung di Hotel Prime City, Kluang, baru-baru ini.
Kerjasama strategik antara KKJ dan KEJORA ini bukan sahaja menumpukan pembangunan kemahiran teknikal, malah turut merangkumi pembentukan disiplin kerja, keyakinan diri serta elemen keusahawanan bagi memastikan belia luar bandar lebih bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan.
Pelaksanaan Program KEMBARA ini juga dilihat selari dengan agenda Pembangunan Bakat Negeri Johor serta menyokong aspirasi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Terdahulu, majlis perasmian penutup Program KEMBARA 2025 telah disempurnakan oleh YB Tuan Syed Hussein Syed Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Mahkota. Turut hadir ialah YBhg Encik Mohd Gadaffie Abd. Aziz, Pengurus Besar KEJORA dan YBrs Encik Ruhaizal Abu Amin, Ketua Eksekutif KKJ.
#JohorSafeZone
#KolejKemahiranJohor
#PembangunanBakatJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



