KLUANG TERUS NIKMATI LIMPAHAN PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR


Kluang, Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Lebih 320,000 penduduk daerah Kluang bakal menikmati limpahan ekonomi dan prasarana susulan pembinaan beberapa projek pembangunan infrastruktur termasuk Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang dijangka siap pada tahun 2025.

 

Perancangan pembangunan kemudahan yang sedang dan akan dilaksanakan itu disifatkan Mohd Faiz Mohd Salleh, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Kluang sebagai strategi tepat untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial menjadikan Kluang daerah berdaya huni, maju dan lestari.

 

Kluang yang sangat terkenal dengan stesen kereta api, akan menerima sistem pengangkutan awam yang lebih kondusif apabila laluan baharu pengangkutan berkenaan akan melalui lima stesen termasuk Bandar Kluang, Paloh, Renggam, Layang-Layang serta hentian khusus kereta api kargo dan industri di Mengkibol.

 

Menerusi projek berkenaan, Mohd Faiz berkeyakinan aksesibiliti dan mobiliti menghubungkan Kluang dan bandar-bandar utama seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur dapat ditingkatkan serta mempercepatkan masa perjalanan pelancong dan penghantaran barangan logistik.

 

Selain itu, kemudahan kesihatan awam di daerah Kluang juga menerima perhatian Kerajaan Negeri dan Persekutuan menerusi peruntukan sejumlah RM2.6 juta bagi kerja-kerja menaik taraf lapan Klinik Kesihatan dan Klinik Desa dalam usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk masyarakat setempat.

 

Lokasi strategik Kluang juga berpotensi menjadikannya sebagai hab perdagangan yang bakal disokong dengan pembangunan jaringan jalan raya baharu menghubungkan Kahang ke Sungai Mas, Mersing sejauh 28 kilometer dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

 

Pelaksanaan projek tersebut akan memudahkan pergerakan pengangkutan melibatkan sektor perladangan dan pertanian bagi membawa produk tempatan untuk dipasarkan secara lebih luas sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat selain mengurangkan masa perjalanan dari bandar Kluang ke Taman Negara Johor Endau-Rompin (Peta).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor