KOMPLEKS KASTAM TERCANGGIH DI FOREST CITY


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City bersama YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

Kompleks Kastam Diraja Malaysia di Forest City menjadi kompleks pemeriksaan baharu dan pertama di negara yang dilengkapi dengan kemudahan teknologi canggih bagi membantu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyekat aktiviti penyeludupan dan kesalahan lain yang boleh merugikan negara.

 

Fasiliti terbaharu itu akan mempunyai kelengkapan mesin pengimbas bagasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pengecaman serta proses analisis imej dan seterusnya memantapkan tahap keselamatan kawalan keluar masuk barangan bebas cukai di Forest City.

 

Bakal beroperasi pada 15 November ini, fasa pertama pelaksanaan zon bebas cukai di Pulau Satu Forest City akan memberi tumpuan kepada pengunjung hotel yang menginap selama 48 jam manakala pelaksanaan sistem kod QR dan implementasi bebas cukai kepada semua barangan dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025 kelak.

 

Kerajaan Negeri menyifatkan fasiliti canggih di Kompleks Kastam Diraja Malaysia itu adalah selari dengan aspirasi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang mahukan teknologi dan kelengkapan moden dibawa masuk ke Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Kompleks Kastam Diraja Malaysia Forest City, di sini. Hadir sama, YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.

 

Turut hadir, YBhg Dato’ Anis Rizana Mohd Zainudin, Ketua Pengarah JKDM; YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) dan YBhg Haji Ahmad Nazir Haji Mohd Nasir, Pegawai Daerah Johor Bahru.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor