KONTINJEN PARA SUKMA JOHOR TERIMA INSENTIF
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor menganjurkan Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Atlet Para SUKMA XX MSN Kuala Lumpur 2022 Negeri Johor, hari ini.
Penganjuran majlis tersebut sebagai mengiktiraf kejayaan yang dicapai Kontinjen Para SUKMA Johor setelah berjaya merangkul 38 emas, 30 perak dan 25 gangsa dalam temasya itu.
Hadir menyempurnakan penyampaian insentif berkenaan adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar.
Dalam ucapannya, On berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh perancangan dan program pembangunan untuk memperkasa atlet para bagi mencapai potensi diri yang optimum seterusnya mengharumkan nama Johor.
“Pemberian insentif ini diharapkan dapat menyuntik semangat dan menjadi pendorong serta motivasi kepada semua atlet untuk berlatih dengan lebih gigih dan memberikan persembahan terbaik di temasya SUKMA akan datang yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2024.
“Sukan Para SUKMA ini merupakan medan untuk mencungkil bakat baharu sebagai persediaan ke temasya sukan utama seperti Sukan Paralimpik dan Para ASEAN. Kejayaan ini membuktikan bahawa status dan keterbatasan bukanlah penghalang dalam mencipta kejayaan dan mengharumkan nama Negeri Johor,” kata beliau.
Dalam edisi Para SUKMA XX MSN Kuala Lumpur, Kontinjen Johor menyertai sembilan daripada 10 acara sukan iaitu catur, boling padang, angkat berat, badminton, olahraga, renang, tenpin boling dan ping pong dengan bilangan kontinjen 160 orang.
Pada majlis tersebut, atlet para renang, Khairul Razi Suliman diumumkan sebagai penerima Anugerah Olahragawan diikuti Lim Yee Jin (Anugerah Olahragawati) dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (Anugerah Atlet Harapan).
Selain itu, para olahraga menerima insentif berjumlah RM130,050; catur (RM94,850); lawn bowl (RM18,050); renang (RM17,750); badminton (RM11,250); angkat berat (RM11,050); ping pong (RM9,450); tenpin boling (RM7,550) serta boccia (RM2,750).
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor