KOREA POLO TAMATKAN KEMPEN JSCPT 2026 DI TEMPAT KETIGA

Kejayaan tersebut melengkapkan kempen Korea Polo dalam kejohanan polo berhandikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia ketika ini, yang menghimpunkan barisan pemain bertaraf dunia termasuk DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam saingan penuh kompetitif. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IstanaPasirPelangi – Korea Polo menamatkan saingan Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 di tempat Ketiga selepas menewaskan JCorp 5-4 dalam aksi sengit penuh mendebarkan yang berlangsung di Royal Johor Polo Club (RJPC), Istana Pasir Pelangi, hari ini.
Kejayaan tersebut melengkapkan kempen Korea Polo dalam kejohanan polo berhandikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia ketika ini, yang menghimpunkan barisan pemain bertaraf dunia termasuk DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam saingan penuh kompetitif.
Perlawanan Akhir Penentuan Tempat Ketiga JSCPT 2026 itu berlangsung seimbang pada awal chukka pertama sebelum Marcos ‘Cacu’ Araya membuka jaringan buat JCorp, disusuli jaringan penyamaan Matias Mac Donough Jr. bagi mengikat kedudukan untuk Korea Polo bagi menutup chukka pertama dengan kedudukan 1-1.
Memasuki chukka kedua, Matias sekali lagi menemui sasaran untuk meletakkan Korea Polo di depan 2-1, sebelum melengkapkan hatrik peribadi bagi menghasilkan gol ketiga pasukan, sekali gus menutup chukka kedua dengan kelebihan 3-1.
Tidak mahu mengalah, JCorp bagaimanapun cuba merapatkan jurang pada chukka ketiga apabila Gonzalo ‘Gonzalito’ Pieres menyempurnakan pukulan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-2, namun Pablo Mac Donough dan David Ko masing-masing turut menambah satu gol untuk melebarkan kelebihan Korea Polo kepada 5-2.
Memasuki chukka keempat, YBhg. Dato’ Quzier Ambak menyempurnakan peluang buat JCorp untuk menghasilkan gol ketiga sebelum Ignacio ‘Nacho’ Figueras menambah satu lagi jaringan bagi merapatkan kedudukan kepada 5-4.
Kebangkitan dramatik JCorp bagaimanapun tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan apabila Korea Polo berjaya mempertahankan kelebihan tipis sehingga tamat permainan bagi mengesahkan kemenangan dan meraih tempat ketiga JSCPT 2026.
Saingan JSCPT 2026 turut mencuri tumpuan apabila DYAM Tunku Mahkota Ismail yang masih dalam proses pemulihan kecederaan di bahagian tangan tetap mempamerkan aksi hebat bersama Royal Johor sehingga membantu pasukan mara ke pentas final yang akan berlangsung esok.
Untuk mendapatkan perkembangan terkini dan mengikuti kemeriahan Johor Super Crown Polo Tournament 2026, ikuti Instagram rasmi Royal Johor Polo Club bagi mendapatkan maklumat serta sorotan sepanjang kejohanan berlangsung.
#JohorSuperCrown2026
#PoloTournament2026
#RoyalJohorPoloClub
#LegacyInMotion
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


