KSOA PLATFORM PEMBANGUNAN SUKAN ORANG ASLI JOHOR

Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan 2026 menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan Masyarakat Orang Asli, dengan kontinjen Johor yang dibarisi 75 atlet berjaya meraih tempat kedua dalam acara bola jaring dan ketiga bagi acara boling. | Foto MDJ Afizuddin
#IskandarPuteri – Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 menjadi antara platform penting memperkasa pembangunan sukan dalam kalangan Masyarakat Orang Asli Negeri Johor, khususnya dalam mencungkil bakat baharu.
Kontinjen Johor yang diperkuatkan dengan 75 atlet berjaya meraih tempat kedua dalam acara bola jaring dan ketiga dalam acara boling sekali gus menjadi motivasi terbaik untuk memperkukuh persiapan bagi menyasarkan gelaran juara keseluruhan pada edisi akan datang.
Penyertaan dalam KSOA yang berlangsung dari 4 hingga 6 September 2026 itu memberi ruang kepada golongan anak muda Orang Asli untuk menyerlahkan potensi serta bakat mereka dalam pelbagai bidang sukan, jelas YBhg. Encik Faizal Long, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor, merangkap Ketua Kontinjen Negeri Johor.
Malah katanya, menerusi bakat yang dikenal pasti melalui pertandingan ini khususnya dalam kalangan pelajar sekolah, ia akan terus diberi perhatian bagi membentuk barisan pelapis dan prospek baharu kepada Kontinjen Orang Asli Johor pada masa akan datang.
Sementara itu, JAKOA Negeri Johor turut menyambut baik pelantikan YBrs. Cik Marina Ibrahim, mantan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Skudai sebagai Wakil Khas DYMM Sultan Johor menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) selepas mendapat perkenan pelantikan tersebut daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pelantikan tersebut akan menyokong pelbagai usaha pembangunan dan hal ehwal masyarakat Orang Asli, khususnya dalam bidang pendidikan, selain memperkukuh komitmen Kerajaan Johor dalam memastikan pembangunan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian secara menyeluruh.
Terdahulu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri 1 dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, hari ini.
Turut hadir ialah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tuan Haji Md. Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor dan YBrs. Tuan Muhammad Akmal Ila Ahmad, Ketua Pengarah JAKOA.
#JohorSafeZone
#JAKOA
#KSOA
#OrangAsli
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


