KUIJSI INTAI PELUANG KERJASAMA AKADEMIK BERSAMA UNIVERSITI AL-QARAWIYYIN

YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) diiringi YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Shamsudin, Pengarah Urusan KUIJSI hadir ke Majlis Kerjasama Akademik KUIJSI di Pejabat Presiden Universiti Al-Qarawiyyin, Fes, Maghribi. | Foto MDJ Ariff Nasseem

 

#Fes, Maghribi – Kerajaan Johor menerusi Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) mengorak langkah strategik dalam meneroka peluang kerjasama akademik bersama Universiti Al-Qarawiyyin, Fes, Maghribi, sebuah institusi pengajian Islam tertua di dunia, selain turut menyimpan warisan keilmuan Islam sejak lebih 1,000 tahun yang lalu.

 

Usaha mengadakan jalinan kerjasama akademik itu bagi memperkukuh jaringan keilmuan Islam antara Negeri Johor dan Maghribi, khususnya dalam membangunkan kerjasama akademik yang berterusan, berautoriti dan berteras turath menerusi KUIJSI.

 

Kerjasama itu termasuk mencipta peluang pengajian lanjutan yang jelas dan tersusun bagi pelajar peringkat Diploma KUIJSI serta membolehkan pelajar Johor untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Al-Qarawiyyin.

 

Ia juga turut menyentuh potensi kerjasama strategik dalam bidang Maqasid Syariah dan pengajian turath teras yang selari dengan empat mazhab muktabar bagi memastikan kesinambungan pengajian fiqh dan usul fiqh yang kontekstual tanpa terputus daripada akar tradisi keilmuan Islam.

 

Selain itu, KUIJSI turut menzahirkan hasrat untuk memperkukuh pengajian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berteraskan aliran Asya‘irah dan Maturidiah, termasuk mendalami karya-karya turath muktabar seperti Umm al-Barāhīn dan teks akidah klasik lain yang menjadi rujukan utama dalam pembinaan kefahaman akidah.

 

Metodologi pengajian turath klasik Universiti Al-Qarawiyyin seperti talaqqi, tahqiq teks dan bimbingan bersanad turut dikenal pasti sebagai model yang berpotensi untuk diadaptasi secara terpilih dan berstruktur dalam pembangunan akademik KUIJSI.

 

Kerjasama itu juga mahu membuka ruang kepada penterjemahan karya-karya ilmiah Universiti Al-Qarawiyyin ke Bahasa Melayu bagi memberi manfaat kepada masyarakat Islam di rantau Asia Tenggara, sekali gus memperluas akses ilmu turath kepada generasi baharu terutama di Negeri Johor.

 

Antara buku dicadangkan untuk diterjemahkan iaitu kitab Maqasid Syariah Wa Makarimuha (Objektif Utama Syariah Islamiah dan Kemuliaannya) tulisan Profesor Dr. ‘Allal Al-Fasi serta kitab Ta’lim al-Muta’allim Tariqat al-Taallum (Pengajian Pelajar akan Cara Belajar) karya Al-Imam Al-Zarnuji.

 

Terdahulu, YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) diiringi YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Shamsudin, Pengarah Urusan KUIJSI hadir ke Majlis Kerjasama Akademik KUIJSI di Pejabat Presiden Universiti Al-Qarawiyyin, Fes, Maghribi, hari ini.

 

Turut hadir YBhg. Tuan Haji Nasri Md. Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); YBhg. Tuan Haji Mohd. Radzi Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ dan YBhg. Dr Hussin Salamon, Rektor KUIJSI.

 

#JohorSafeZone
#KerjasamaAkademik
#KUIJSI
#UniversitiAlQarawiyyin
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor