LAGI ‘PROJEK SAKIT’ SELESAI


YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PPAM Taman Impian Jaya. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Johor berjaya menyelesaikan lima projek sakit dalam tempoh 10 bulan tahun ini melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah kira-kira RM400 juta termasuk projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Taman Impian Jaya, Senai.

 

Hasil intervensi serta koordinasi Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan telah membantu projek perumahan melibatkan 213 unit itu menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada bulan Julai lalu sekali gus menamatkan penantian setahun para pembeli untuk menerima kunci kediaman masing-masing.

 

Meskipun tanggungjawab menyelesaikan projek sakit dan terbengkalai di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri sentiasa berusaha semaksimum mungkin bagi menyelesaikan masalah tersebut dan menjaga kebajikan Bangsa Johor.

 

Malah, kejayaan Kerajaan Johor dalam menyelesaikan projek sakit dan terbengkalai telah dibuktikan apabila sebanyak tujuh projek perumahan kategori itu diselesaikan pada tahun 2023 melibatkan nilai pembangunan sebanyak RM230 juta sekali gus mengelakkan kerugian berganda ditanggung para pembeli.

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PPAM Taman Impian Jaya, di sini, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor