LANTIKAN PEGAWAI PEMBIMBING HALAL PERKASA INDUSTRI HALAL JOHOR

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan perasmian penutup Kursus Pemahaman Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) Tahun 2025 dan Pelantikan Pegawai Pembimbing Halal. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Negeri mengambil langkah signifikan bagi memperkukuhkan ekosistem industri halal secara menyeluruh di negeri ini, menerusi pelantikan 29 Pegawai Pembimbing Halal yang terdiri daripada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan.
Pelantikan tersebut membolehkan usahawan mendapat bimbingan secara terus dan menjadikan proses permohonan pensijilan halal yang sebelum ini hanya dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), lebih mudah, cepat dan mesra pengguna.
Pelantikan Pegawai Pembimbing Halal itu juga akan diperluaskan sehingga menyokong hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran 5,000 pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) menjelang tahun 2030 berbanding lebih 1,200 pemegang berdaftar ketika ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut merancang memperkenalkan Ikon Halal Negeri Johor melibatkan usahawan Bumiputera yang berjaya mengembangkan perniagaan melalui pensijilan halal untuk dijadikan contoh atas pencapaian peningkatan dari aspek kewangan serta penerimaan pengguna.
Inisiatif itu merupakan antara komponen penting dalam penyediaan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 yang kini di peringkat akhir perbincangan dan akan menjadi kerangka strategik pembangunan halal negeri yang menyeluruh seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan perasmian penutup Kursus Pemahaman Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) Tahun 2025 dan Pelantikan Pegawai Pembimbing Halal anjuran JAINJ dengan kerjasama PIJ Holdings Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya PIJ Halal Ventures Sdn. Bhd.
#IndustriHalal
#SPHM
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor