LATIHAN KONSISTEN RESEPI KEJAYAAN


Pasukan nasyid Rushdaniah Sekolah Menengah Tinggi Arab Maahad Johor, Johor Bahru, selepas merangkul kejuaraan kategori nasyid lelaki dalam Kejohanan Majlis Ihtifal Ilmiah Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MISSMAM) kali ke-10. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Latihan konsisten serta disiplin tinggi merupakan kunci kejayaan pasukan nasyid Rushdaniah Sekolah Menengah Tinggi Arab Maahad Johor, Johor Bahru, selepas merangkul kejuaraan kategori nasyid lelaki dalam Kejohanan Majlis Ihtifal Ilmiah Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MISSMAM) kali ke-10.

 

Mikail Muzakirin Jamsari, 18, Ketua Kumpulan Rushdaniah, menganggap permuafakatan dan semangat berpasukan memainkan peranan penting dalam pencapaian mereka selain doa serta sokongan berterusan dari pihak sekolah, ibu bapa, dan rakan-rakan menjadi bekalan semangat kumpulan nasyid berkenaan.

 

Latihan yang teratur di bawah bimbingan jurulatih dan guru pembimbing juga menjadi sebahagian daripada persiapan rapi bagi menghasilkan lontaran vokal yang harmoni, di samping menuntut disiplin tinggi untuk mengurus keseimbangan antara waktu belajar dan latihan.

 

Sementara itu, juara acara Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen, Mohamad Iman Akmal Abdullah, 18, pelajar Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat pula berkorban menjalani persiapan sejak Ogos tahun ini termasuk sesi latihan intensif sehingga lewat malam.

 

Sebagai Menteri Kedua, beliau menitipkan pesanan kepada ahli pasukan yang masih layak bertanding pada edisi akan datang agar terus mengekalkan komitmen dan disiplin dalam latihan, sambil menanam rasa bangga dalam membawa nama Johor dalam acara tersebut.

 

Kejayaan ini turut dikongsi bersama ahli pasukannya yang lain, termasuk Aisyah Humaira’ MD Razif, 15 (Menteri Pertama); Mohamad Yazid Ahmad, 17 (Menteri Ketiga); Nuruh Hidayah Mohd Ali, 16 (Menteri Keempat); dan Muhammad Ammer Hafiz Norazmi, 15 (Menteri Kelima).

 

Kejohanan Majlis Ihtifal Ilmiah Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MISSMAM) kali ke-10 tahun 2024 berakhir hari ini dengan Kontinjen Johor dinobatkan sebagai johan keseluruhan setelah meraih empat gelaran juara dan tiga naib juara menerusi acara Tilawah Al-Quran, Syarahan Bahasa Melayu, Kitabul Maqal, Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen, dan Nasyid.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor