LEBIH SEABAD MARTABAT PENDIDIKAN ISLAM
Sistem pendidikan Islam Johor berusia lebih seabad kekal menjadi teras signifikan dalam pembentukan keperibadian dan sahsiah masyarakat Islam di negeri ini yang berpegang teguh dengan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.
Pengukuhan syiar Islam secara holistik melalui sistem sedia ada yang sentiasa diperkasakan telah diterjemah bermula dengan Tadika Agama Johor (TAJ) diikuti Sekolah Agama Kerajan Johor (SAKJ) seterusnya peringkat Darjah Khas dan Sekolah Menengah Agama (SMA).
Sejajar dengan peredaran masa dan zaman, Kerajaan Negeri terus komited dalam mewujudkan ekosistem pendidikan yang kondusif dan penyampaian ilmu berkesan menerusi pelbagai usaha yang digariskan seperti pendigitalan sekali gus memartabat pendidikan Islam.
Hal ini dibuktikan melalui peruntukan disediakan dalam Belanjawan Johor 2023 dan 2024 dengan menyediakan capaian internet melalui pemasangan WiFi di 340 SAKJ memanfaatkan hampir 200,000 pelajar selain sumbangan televisyen pintar untuk 160 SAKJ oleh Perbadanan Islam Johor (PIJ).
Dari aspek kebajikan dan infrastruktur pula, sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bersama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Islam Johor (PIJ), PIJ Holdings Sdn. Bhd. serta Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang Islam Negeri Johor untuk menyelenggara serta membaik pulih 88 SAKJ.
Malah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memperuntukkan RM7.6 juta untuk baik pulih 82 SAKJ dalam kategori kritikal pada tahun lalu, yang telah mencerminkan hubungan erat bersama Kerajaan Negeri serta keprihatinan terhadap pendidikan Islam Johor.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor