LONGDA GROUP LABUR RM900 JUTA PEMBANGUNAN INDUSTRI AEROANGKASA DI JOHOR

Johor menerima pelaburan RM900 juta daripada Longda Group, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi industri berteknologi tinggi. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Johor terus menjadi destinasi industri berteknologi tinggi apabila menerima pelaburan bernilai RM900 juta daripada Longda Group, sebuah syarikat antarabangsa berteknologi tinggi dalam rantaian bekalan global industri aeroangkasa, tenaga dan kejuruteraan berat.
Pelaburan berimpak tinggi itu dijangka bakal mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji antara RM3,000 hingga RM20,000 sebulan, khususnya kepada Bangsa Johor, sekali gus menyokong pemerkasaan modal insan negeri.
Selain itu, pembangunan bakat tempatan turut diperkukuhkan melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang melibatkan pemilihan 30 graduan tempatan untuk menjalani latihan industri di ibu pejabat syarikat terbabit di China.
Kumpulan pertama seramai tujuh graduan dijadualkan berlepas pada 2 Mac ini, manakala satu lagi pengambilan seramai 30 graduan pula pada tahun hadapan akan dibuat bagi memperkukuh kepakaran Johor dalam bidang teknologi aloi berprestasi tinggi.
Longda Group memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan aeroangkasa global menerusi pembekalan ‘superalloys’ berketulenan tinggi bagi komponen ‘hot-section’ enjin pesawat untuk kegunaan komersial dan pertahanan.
Usaha pelaburan terutama menerusi industri berteknologi tinggi tersebut selari dengan aspirasi pembangunan Johor sebagai hab industri serantau, di samping memperkasa ekonomi berimpak tinggi dan pembangunan bakat tempatan secara mampan.
#JohorSafeZone
#LongdaGroup
#PelaburanJohor
#Superalloy
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


