LONJAK POTENSI GURU STEM JOHOR


Delegasi pendidikan Johor menyertai Kursus STEM Guru Negeri Johor selama empat hari di NIE, institusi di bawah Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di Singapura. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Inisiatif Kerajaan Negeri meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) bidang ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi latihan serta perkongsian kepakaran bersama tenaga pengajar di Singapura bagi mewujudkan suasana dalam kelas yang menarik dan menyeronokkan disambut baik warga pendidik.

 

Program latihan modul STEM di Institut Pendidikan Nasional (NIE) Singapura merupakan langkah holistik dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memastikan guru-guru memiliki penguasaan dalam bidang tersebut sekali gus memastikan peratusan pelajar memilih aliran sains tulen tidak merosot pada masa akan datang, jelas Suriyah Mohamed Lahir.

 

Pengetua SMK Bandar Baru Uda itu melihat prospek Johor untuk melahirkan modal insan berkemahiran yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara dikhuatiri akan terjejas sekiranya Kerajaan Negeri tidak memberi perhatian terhadap usaha menyediakan latihan kompetensi buat warga pendidik.

 

Manakala Zamidi Abd Aziz, Pengetua SMK Buluh Kasap pula merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas peluang yang diberikan untuk membantu guru-guru di luar bandar menimba ilmu di Singapura bagi menambah kemahiran seterusnya memastikan bidang STEM terus menjadi pilihan pelajar.

 

Potensi dimiliki selain prestasi memberangsangkan pelajar yang mengikuti bidang STEM di sekolah berkenaan telah memberi motivasi dan rangsangan kepada warga pendidik untuk meningkatkan keupayaan dan penguasaan terutama dalam sains dan matematik yang dilihat penting seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.

 

Terdahulu, seramai 40 guru dari lima sekolah terpilih menyertai Kursus STEM Guru Negeri Johor selama empat hari di NIE, institusi di bawah Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di Singapura. Majlis perasmian penutup kursus telah disempurnakan oleh YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor