MAINJ TUBUH YAYASAN KHAS BIAYA RAWATAN PESAKIT BUAH PINGGANG

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungannya ketika Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah yayasan khas yang berperanan sebagai sebuah pusat hemodialisis bagi pesakit buah pinggang, berikutan kos rawatan yang dilihat semakin meningkat setiap tahun, sekali gus menjadi cabaran besar kepada golongan pesakit kurang berkemampuan.

 

Menerusi penubuhan Yayasan Majlis Agama Islam Negeri Johor itu, ia bukan sahaja menyediakan rawatan secara langsung, malah turut memberi peluang kepada pesakit kurang berkemampuan untuk menikmati subsidi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus membolehkan MAINJ menaja lebih ramai pesakit dengan kos rawatan yang lebih rendah dengan kemudahan yang serba lengkap.

 

Selain subsidi kerajaan, yayasan ini turut merancang mendapatkan sumbangan daripada pelbagai sektor swasta dan orang ramai bagi menampung kos rawatan dialisis ini, di mana setiap penyumbang berpeluang menerima insentif pelepasan cukai, sekali gus menjadikan sumbangan mereka lebih bermanfaat.

 

Kos rawatan di pusat dialisis yang menawarkan yuran berbeza-beza iaitu antara RM180 hingga RM300 bagi setiap sesi telah mendorong MAINJ untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya menyelaraskan kadar rawatan agar unjuran bantuan yang akan diberikan menjadi lebih mudah, selain membantu proses penajaan lebih teratur dan pesakit kurang berkemampuan juga tidak terbeban dengan kos rawatan yang tinggi.

 

Untuk rekod, MAINJ telah membiaya lebih 3,000 pesakit buah pinggang selama hampir 30 tahun dengan melibat kos berjumlah RM65 juta setahun, di samping turut menyediakan bantuan pembedahan tapak fistula serta lain-lain keperluan perubatan pesakit yang dibantu mengikut kelayakan di seluruh negeri ini.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungannya ketika Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor