MASJID SELESA, IBADAH KHUSYUK


Masjid Bandar Segamat. | Foto MDJ Bayu Wira

 

Pembangunan institusi masjid dan surau di Johor terus menyaksikan perkembangan pesat apabila infrastruktur masjid dan surau, terutamanya di kawasan luar bandar termasuk FELDA yang kini lebih moden dan selesa berkat inisiatif Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Johor.

 

Tabung yang ditubuhkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 10 Februari 1999 itu berperanan membantu membiayai pembinaan serta kerja-kerja baik pulih lebih 800 masjid dan 2,000 surau seluruh Johor bagi memartabat kesucian agama Islam.

 

Usaha memperkasa institusi masjid kini terus digerakkan Sohibul Fadhilah Khalil Md Noor, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau (BPMS), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang mahu memastikan generasi muda turut serta memakmurkan masjid.

 

Pembaharuan dilakukan di bawah inisiatif Pemodenan Pengimarahan Masjid dilaksanakan bermula tahun 2023 telah melibatkan peruntukan RM470,404.80 bagi pemasangan kemudahan WiFi di 127 masjid dan 33 surau seluruh negeri dengan penstrukturan semula unit di bawah BPMS.

 

Selain itu, peruntukan tambahan sebanyak RM840,000 diberikan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program Semarak Subuh berikutan sambutan hangat diberikan masyarakat Islam termasuk golongan muda di negeri ini juga menterjemah iltizam Kerajaan Johor terus memperkukuh tadbir urus syiar Islam.

 

Malah, generasi muda di Johor kini tidak kekok untuk datang ke masjid dan surau selain sebahagian besar anggota jawatankuasa pengurusan masjid-masjid utama negeri ini telah dibarisi oleh golongan berkenaan yang turut menerima latihan berkala bagi menguruskan masjid secara profesional.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor