MASYARAKAT ORANG ASLI JOHOR HIDUP SEJAHTERA
Keprihatinan Kerajaan Johor terhadap pembangunan sosioeonomi dan kebajikan masyarakat Orang Asli dizahirkan melalui peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.06 juta meliputi aspek pengurusan, pentadbiran dan kesejahteraan dalam Belanjawan Johor 2024 disambut baik oleh pemimpin komuniti tersebut.
Daripada jumlah tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM600,000 kepada 60 Kampung Orang Asli (KOA) untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, RM300,000 bagi program pembangunan KOA Sejahtera serta RM166,000 untuk elaun tambahan memanfaatkan Ketua Masyarakat Orang Asli atau Tok Batin.
Tambahan sebanyak RM300 daripada Kerajaan Negeri yang menjadikan elaun diterima berjumlah RM1,200 sebulan sebagai mengiktiraf peranan penting dimainkan Tok Batin menjadi suntikan semangat untuk berkhidmat oleh Majid Jantan, 60, Batin Kampung Orang Asli (KOA) Sayong Pinang, Kota Tinggi.
Elaun yang diterima membantunya memberikan perkhidmatan dengan lebih berkesan untuk menjaga kebajikan 89 keluarga di KOA berkenaan termasuk ketika kecemasan dan menghantar pergi dan pulang anak-anak Orang Asli ke sekolah malah berharap inisiatif seumpama itu akan dapat diteruskan serta ditambah baik.
Selain itu, kepimpinan Majid selaku Tok Batin yang dibantu Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Sayong Pinang membolehkan kampungnya terpilih sebagai KOA Sejahtera Negeri Johor sekali gus menerima peruntukan bagi melaksanakan projek pembangunan ekonomi, pendidikan dan keceriaan.
Bagi Noore Kasi, 57, Batin KOA Simpang Arang, Gelang Patah pula menyifatkan pemberian elaun tambahan daripada Kerajaan Negeri meringankan beban perbelanjaan pengangkutannya yang aktif mengadakan pertemuan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor di pusat bandar Johor Bahru.
Tokoh Kepimpinan Orang Asli Islam Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 juga menzahirkan kesyukuran dan terima kasih apabila Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan infrastruktur dan prasarana kondusif termasuk perkhidmatan kesihatan serta pendidikan untuk manfaat lebih 200 keluarga di kampungnya.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor