MBIP JADIKAN SUNGAI SKUDAI LOKASI RIADAH


Sungai Skudai, Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Sebagai usaha membawa masyarakat kembali ke sungai, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melalui pelan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai akan menjadikan sungai tersebut sebagai kawasan tarikan pelancongan dan riadah yang mesra alam.

 

Pelaksanaan RKK akan melibatkan perubahan kawasan riparian (tebing sungai) dan ruang riadah, sekali gus merealisasikan potensi Sungai Skudai sebagai lokasi rekreasi utama di bandar metropolitan Johor Bahru – Iskandar Puteri.

 

Inisiatif ini dapat dilaksanakan berikutan lokasi Sungai Skudai yang mudah diakses melalui Jalan Persekutuan FT001 (Jalan Johor Bahru – Skudai – Senai), selaras dengan kemajuan pembangunan dan memperkukuhkan agenda kelestarian di kawasan tersebut.

 

Selain itu, MBIP komited memastikan pengurusan dan kawalan kualiti air sungai berada pada tahap optimum serta melindungi biodiversiti sungai dengan melepaskan 25,000 benih ikan baung untuk memulihkan ekosistem perairan dan meningkatkan populasi ikan.

 

Terdahulu, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, diiringi YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar MBIP, menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Minggu Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat MBIP Tahun 2024 di Denai Sungai Skudai, Taman Impian Emas, pagi tadi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor