MBJB KUMPUL 192 TAN BAHAN KITAR SEMULA MENERUSI LA21


Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru muncul sebagai pemenang kategori pertandingan Sekolah Showcase Program Kelestarian Pendidikan. | Foto ihsan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

Pelaksanaan Program Pendidikan Kelestarian LA21 di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berjaya mencapai objektif penganjurannya sekali gus menunjukkan keberkesanannya bagi memacu agenda rendah karbon di bandar raya itu.

 

Kira-kira 192 tan bahan kitar semula berjaya dikumpul oleh MBJB melibatkan 49 sekolah sekitar Johor Bahru selepas melaksanakan penilaian penuh bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Januari lalu.

 

Menerusi tempoh setahun penganjuran LA21, jumlah pengurangan karbon juga meningkat kepada 459,632 kilogram (kg) pada tahun lalu berbanding 313,934 kg pada 2022 selain membantu menjimatkan perbelanjaan utiliti air sebanyak RM237,827.20 bagi sekolah-sekolah terlibat.

 

Selain itu, MBJB turut merakamkan penghargaan kepada 120 sekolah rendah dan menengah di kawasan pentadbirannya yang turut serta program LA21 sejak dilaksanakan pada 2023 menerusi pelbagai kategori anugerah anugerah bertujuan memupuk aktiviti kelestarian di peringkat sekolah.

 

Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim (SIGS) muncul sebagai pemenang kategori pertandingan Sekolah Showcase Program Kelestarian Pendidikan selain turut mengungguli kategori Guru Lestari LA21 sekali gus membawa pulang wang tunai keseluruhan RM23,000.

 

Bagi memperkasa pelaksanaan program LA21, MBJB turut merancang memperkenalkan Anugerah Guru Besar dan Pengetua Lestari sebagai bentuk pengiktirafan kepada mereka yang berperanan memastikan sekolah masing-masing dapat menjalankan aktiviti berbentuk kelestarian.

 

LA21 merupakan program kelestarian melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), komuniti dan sektor swasta bekerjasama untuk merancang serta menguruskan kawasan persekitaran mereka ke arah pembangunan mampan dan kualiti hidup yang lebih tinggi.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor