MBJB TETAP SYARAT CCTV, TANDAS ‘BMW’ UNTUK LESEN PERNIAGAAN

Langkah ini dilihat mampu meningkatkan tahap keselamatan dan pencegahan jenayah di kawasan perniagaan, selain ia juga menyokong pelaksanaan agenda Bandar Pintar MBJB ke arah mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menetapkan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis perniagaan sebagai salah satu syarat tambahan pelesenan bagi memperkukuh tahap keselamatan di bandar raya ini.
Syarat tersebut melibatkan premis perniagaan yang berada di tingkat bawah dalam kawasan pentadbiran MBJB dan telah diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan sebelum disahkan dalam Mesyuarat Penuh Majlis.
Bagi pembaharuan lesen tahunan, setiap pemilik premis dikehendaki mengemukakan bukti pemasangan CCTV, manakala permohonan lesen baharu pula perlu mematuhi syarat pemasangan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Langkah ini dilihat mampu meningkatkan tahap keselamatan dan pencegahan jenayah di kawasan perniagaan, selain ia juga menyokong pelaksanaan agenda Bandar Pintar MBJB ke arah mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat, tersusun dan mampan untuk kesejahteraan warga bandar raya berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, MBJB turut menetapkan pelaksanaan inisiatif Tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) sebagai syarat tambahan lesen perniagaan, khususnya melibatkan premis makanan dan minuman dengan hanya premis yang berjaya mencapai penarafan empat bintang ke atas akan dipertimbangkan bagi pembaharuan lesen tahunan.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar MBJB mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan 12/2025 pada Selasa. Turut hadir, YBhg. Tuan Haji Mohd Farid Hassan, Setiausaha MBJB dan YBrs. Dato’ A. Aziz Ahmad, Ketua WHIP MBJB.
#JohorSafeZone
#MBJB
#JohorBahru
#BandarPintar
#JohorSelamat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



