MDJ TERIMA PENGHARGAAN RAKAN STRATEGIK KEMPEN DERMA DARAH


YBhg Tuan Haji Mohd Johari Tarmidi, Pengarah Media Digital Johor menerima Anugerah Penghargaan Rakan Strategik Kempen Derma Darah di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Media Digital Johor (MDJ) menerima Anugerah Penghargaan Rakan Strategik Kempen Derma Darah bersempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 Peringkat Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).

 

Anugerah berkenaan diberikan atas komitmen serta peranan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti derma darah di Negeri Johor selain kerjasama erat dengan Jabatan Perubatan Transfusi HSAJB bagi membantu menstabil dan memastikan stok bekalan darah mencukupi.

 

YBrs. Dr. Mohtar Pungut, Pengarah Kesihatan Negeri Johor menyampaikan anugerah tersebut kepada YBhg Tuan Haji Mohd Johari Tarmidi, Pengarah Media Digital Johor dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Johor Bahru, hari ini.

 

Dengan tema “Meraikan Sambutan ke-20 Hari Penderma Darah Sedunia: Terima Kasih, Penderma Darah!”, seramai 12 penderma darah telah diberi penghargaan atas jasa dan pengorbanan ‘Johor Blood Warriors’ menyelamatkan nyawa pesakit.

 

Sehingga tahun 2023, sebanyak 35,247 beg darah berjaya dikumpulkan di HSA hasil sumbangan para penderma sekali gus menyumbang kepada peningkatan sebanyak enam peratus stok bekalan darah berbanding tahun sebelumnya.

 

Turut disampaikan adalah Anugerah Penderma Platinum, Anugerah Penderma Emas, Anugerah Penderma Perak, Anugerah Penderma Gangsa, Anugerah Penderma Responsif Rh(D) Negatif, Anugerah Penderma Responsif (Rare Blood Group), Anugerah Penderma Responsif (Aferesis), serta Anugerah Penghargaan Penganjur Derma Darah.

 

Hadir sama pada majlis tersebut ialah YBrs, Dr. Hajah Aslinda Salikin, Pengarah Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Dr. S. Sharath Chandran, Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor