MDT KOMITED PERKASA SEKTOR PELANCONGAN TANGKAK

YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KPKT diiringi YBhg. Tuan Mohd Nazid Jasiman, Yang Dipertua MDT mengadakan lawatan kerja ke Tangkak serta merasmikan Pasar Awam Tangkak dan Dataran Sagil. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Tangkak – Majlis Daerah Tangkak (MDT) kini melangkah agresif dalam memperkasa sektor pelancongan daerah menerusi pembangunan produk pelancongan baharu yang tersusun dan berimpak tinggi.
Dengan kelebihan nilai budaya, kisah legenda dan kedudukan strategik berhampiran lebuh raya utama, MDT mengetengahkan inisiatif menggabungkan elemen sejarah, rekreasi moden serta kelestarian alam semula jadi.
Antara projek yang dibentangkan kepada delegasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk dijayakan adalah cadangan pembinaan Galeri Puteri Gunung Ledang.
Selain itu, pembangunan ‘Rooftop Garden’ dengan kemudahan gelanggang pickleball di Pasar Awam Tangkak dan taman rekreasi bertemakan Jambatan Emas Gunung Ledang.
Bakal menjadi mercu tanda ikonik daerah, taman rekreasi itu dijangka memperkaya landskap pelancongan Tangkak, menjadi tarikan visual unik dan pusat aktiviti untuk pengunjung tempatan serta antarabangsa.
Selari dengan itu, Pertandingan Reka Bentuk Jambatan Emas turut diadakan dan sedang berlangsung dengan pemenangnya akan diumumkan pada Program Amazing Tangkak, Oktober ini.
Usaha yang diambil selari dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar Kerajaan Negeri melakukan naik taraf infrastruktur dan menggerakkan promosi produk pelancongan dengan lebih agresif.
Terdahulu, YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha KPKT diiringi YBhg. Tuan Mohd Nazid Jasiman, Yang Dipertua MDT mengadakan lawatan kerja ke Tangkak serta merasmikan Pasar Awam Tangkak dan Dataran Sagil.
#AmazingTangkak
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor