MEMACU JOHOR SEBAGAI PENERAJU BANDAR PINTAR


Johor Smart City Day (JSCD) 2024 disempurnakan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Kerajaan Negeri dengan kerjasama rakan strategik terus komited mentransformasikan bandar-bandar di negeri ini, sebagai bandar pintar menjelang tahun 2030 menerusi perkongsian pintar bersama pemegang taruh selaku rakan strategik.

 

Ikhtiar dengan kerjasama PLANMalaysia@Johor yang selari dengan hasrat Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 itu turut didukung dengan komitmen daripada 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Johor.

 

Daripada kesemua PBT berkenaan, enam daripadanya telah menyerahkan pelan tindakan bandar pintar masing-masing kepada Kerajaan Negeri pada Johor Smart City Day (JSCD) 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

 

Enam PBT berkenaan adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT).

 

JSCD 2024 yang merupakan lanjutan daripada Johor Smart City Forum (JSCF) 2023 telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor.

 

Hadir sama, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi JETCO; YBhg. Datuk TPr. Dr. Alias Rameli, Ketua Pengarah PLANMalaysia; YBhg. TPr. Saidin Lateh, Pengarah PLANMalaysia@Johor serta YBrs. Dr. Mochamad Ridwan Kamil, Kurator Ibu Kota Nusantara, Indonesia.

 

Sempena JSCD 2024, MBJB diumumkan sebagai penerima Anugerah Bandar Pintar Johor kategori Agensi Kerajaan menerusi inisiatif Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru (JBIOCC) manakala kategori Sektor Swasta pula diraih oleh Sunway Iskandar Sdn. Bhd. melalui inisiatif Sunway City Iskandar Puteri.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor