MENCORAK MASA DEPAN SISTEM PENGANGKUTAN AWAM JOHOR


Perkhidmatan bas masih kekal relevan sebagai perantara yang menyediakan jaringan laluan yang lebih efisien, serta ketepatan masa perkhidmatan. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di pusat bandar Johor Bahru, Kerajaan Negeri dicadang mengambil pendekatan komprehensif bagi menyokong penggunaan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat yang dijangka beroperasi pada tahun 2027.

 

Bagi Dr. Safizahanin Mokhtar, Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), langkah tuntas perlu diambil bagi mengoptimumkan perkhidmatan RTS dan ART bertingkat termasuk penyediaan perkhidmatan bas perantara, jaringan laluan yang lebih efisien, serta ketepatan masa perkhidmatan.

 

Perkhidmatan bas perantara yang boleh disediakan oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) juga dianggap sebagai pilihan penting dalam perkhidmatan ‘first miles’ dan ‘last miles’ bagi membantu pengguna sampai ke destinasi mereka, selain daripada berjalan kaki, atau berbasikal.

 

Ia bukan sahaja diyakini dapat memudahkan perjalanan harian, tetapi juga membantu menjadikan jaringan sistem pengangkutan awam di Johor yang berkualiti serta mempunyai kesalinghubungan setanding dengan bandar-bandar utama lain di dalam negara.

 

Selain itu, harga tiket berpatutan dan pakej pas perjalanan tanpa had perlu dipertimbangkan untuk menggalakkan penggunaan ART dan RTS termasuk kempen kesedaran yang dilihat dapat memainkan peranan signifikan dalam mempromosikan penggunaan sistem pengangkutan tersebut kelak.

 

Safizahanin turut percaya usahasama Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan pelbagai pilihan pengangkutan awam moden termasuk perkhidmatan RTS Johor Bahru-Singapura dan ART bertingkat membolehkan pengguna bergerak dengan lebih efisien dan meningkatkan produktiviti sektor ekonomi di negeri ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor