MERAIKAN KELAHIRAN JUNJUNGAN MULIA


Maulidur Rasul. | Foto Hiasan

 

Oleh: Ustaz Fakhrurrazi Yusof

 

Kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan satu peristiwa yang membawa perubahan besar kepada seluruh alam dengan kehadiran baginda di dunia adalah sebagai rahmat yang membawa cahaya bukan setakat ke atas manusia semata-mata, tetapi terangkum juga buat makhluk tidak bernyawa.

 

Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan dan penghormatan, termasuk menghayati serta memahami mesej dan pengajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

 

Bagi Ustaz Fakhrurrazi Yusof, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, pengisian sambutan berkisar kepada selawat serta ceramah membawa umat Islam mengenali keperibadian, kemuliaan serta menyuntik rasa cinta terhadap Rasulullah SAW.

 

Sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW, masyarakat Arab berada dalam keadaan jahiliah yang penuh dengan amalan tidak bermoral, penindasan dan ketidakadilan sehinggalah kelahiran Baginda pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah yang membawa sinar harapan terhadap kehidupan umat manusia.

 

Perubahan yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW adalah menyeluruh, merangkumi aspek kehidupan manusia seperti sosial, ekonomi dan politik, selain mengajarkan konsep keadilan, kesaksamaan dan keharmonian yang menjadi asas kepada tamadun Islam yang agung.

 

Kelahiran Nabi Muhammad SAW juga bukan sekadar peristiwa kelahiran seorang nabi, tetapi permulaan kepada era baharu yang penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan yang perlu menjadi panduan abadi untuk kesejahteraan manusia hingga ke hari ini.

 

Justeru, sambutan Maulidur Rasul adalah masa untuk umat Islam menghayati dan mendalami semula ajaran serta nilai yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dengan menyuburkan kecintaan kepada Baginda, memperkukuhkan iman dan mempereratkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor

 

(Penulis merupakan pegawai khidmat nasihat di Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Johor)