MRT CORP, SUNWAY JALIN KERJASAMA BANGUNKAN PRASARANA DI BUKIT CHAGAR
![](https://mediadigitaljohor.gov.my/v1/wp-content/uploads/2025/02/6154271300458234333.jpg)
Majlis Menandatangani Perjanjian antara MRT Corp dan Sunway Group disaksikan oleh YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan (tengah). | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – MRT Corporation (MRT Corp) dan Sunway Group hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik bagi membangunkan projek pembangunan bersepadu di lokasi bersebelahan Stesen Sistem Rapid Transit (RTS Link) Bukit Chagar yang bakal menghubungkan Johor Bahru dan Stesen Woodlands North di Singapura.
Projek pembangunan di kawasan tapak seluas 4.23 ekar ini akan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) serta Stesen RTS Link Bukit Chagar, sekali gus menjadi strategi penting dalam usaha meningkatkan kecekapan jaringan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan dan memacu transformasi bandar raya Johor Bahru.
Pembangunan projek bersepadu berkenaan juga akan merangkumi pelbagai komponen utama termasuk 1,550 tempat letak kereta dan 1,015 tempat letak motosikal bagi memenuhi keperluan pengguna RTS Link, unit kediaman apartment dan pusat komersial.
Selain itu, ia turut menggabungkan pusat membeli-belah, institusi pendidikan dan hab fasiliti kesihatan yang berpotensi memacu sektor pelancongan perubatan serta pada masa sama menjadikannya sebagai destinasi ideal untuk golongan kerja profesional yang berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura.
Terdahulu, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan diiringi YBhg Tan Sri Bashir Ahmad, Pengerusi MRT Corp dan YBhg Tan Sri Dato’ Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah, Pengerusi Sunway Group hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara MRT Corp dan Sunway Group.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh YBhg Datuk Mohd Zarif Hashim selaku Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp dan YBrs Chong Sau Min, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Integrated Properties Sdn. Bhd.
#RTSLink
#TheGreaterJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor