4,866 MAHASISWA ANAK JOHOR TELAH MENIKMATI MANFAAT ‘MEH BALIK KAMPUS’

Kerajaan Johor memperuntukkan RM1.4 juta menerusi Belanjawan Johor 2026 bagi pelaksanaan inisiatif Meh Balik Kampus di bawah Teras 3: Orang Muda Johor, bagi membantu meringankan kos perjalanan mahasiswa Anak Johor yang melanjutkan pengajian di IPT sekitar Semenanjung, Sabah dan Sarawak. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Bagi golongan mahasiswa Anak Johor yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada di Semenanjung mahu pun di Sabah dan Sarawak, kos perjalanan untuk kembali ke kampus bukanlah sesuatu yang kecil.
Namun dengan adanya inisiatif Meh Balik Kampus telah menjadikan beban perbelanjaan itu dapat dikurangkan, sekali gus ia memberikan satu kelegaan yang amat besar kepada golongan mahasiswa meneruskan pengajian mereka di perantauan.
Justeru, pada Belanjawan Johor 2026 lalu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta bagi pelaksanaan inisiatif Meh Balik Kampus di bawah Teras 6: Orang Muda Johor.
Ia merangkumi bantuan tiket penerbangan kepada mahasiswa yang menuntut di Sabah dan Sarawak serta perkhidmatan bas percuma bagi pelajar yang menuntut di IPT di Semenanjung Malaysia.
Sepanjang pelaksanaan Siri Pertama pada Mac dan Siri Kedua pada Jun 2026, seramai 4,866 Mahasiswa Anak Johor menerima manfaat menerusi penyediaan 99 bas yang membawa 3,990 mahasiswa serta 876 tiket penerbangan untuk mahasiswa yang menuntut di beberapa IPT yang berada di kepulauan Borneo.
Fakhrul Fitri Mohd Arifshah, 22, mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Induk Kota Kinabalu menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu peluang bermakna buat pelajar Johor di Borneo yang sebelum ini belum pernah merasai bantuan seumpamanya.
Menurutnya, bantuan tiket penerbangan itu amat meringankan beban mahasiswa, terutama dalam menghadapi kos perjalanan yang perlu ditanggung setiap kali kembali menyambung pengajian dari kampung halaman.
Bagi Noor Fitrie Azeemah Abdulrahman, 21, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kota Kinabalu turut menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai bukti hasil pembangunan negeri ini telah diterjemahkan secara langsung kepada manfaat rakyat, termasuk golongan mahasiswa.
Beliau turut melihat pelbagai bantuan pendidikan lain seperti Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) sebagai kesinambungan usaha Kerajaan Negeri dalam menyokong keperluan dan kelangsungan pendidikan anak-anak Johor.
Sementara itu, Rumaisha Md Arif, 23, pelajar Universiti Malaya, memberitahu inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Johor dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian, khususnya dari segi keperluan perjalanan pulang ke kampus.
Lebih daripada sekadar bantuan perjalanan, inisiatif ini jelas memberi kelegaan kepada mahasiswa yang menuntut jauh dari kampung halaman, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan anak-anak Johor walau di mana mereka menuntut ilmu.
#JohorSafeZone
#OrangMudaJohor
#BelanjawanJohor2026
#MehBalikKampus
#MahasiswaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



