MAINJ PERKASA USAHAWAN MENERUSI INISIATIF HALAL KOTEJ

Noorhasyimah Abdul Aziz, 35, menjadikan resipi sate peninggalan arwah bapanya sebagai sumber rezeki menerusi perniagaan Sate Barchot’s yang diusahakan sejak 2018, dengan sokongan program khidmat bimbingan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi mengembangkan perniagaannya. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Kulai – Siapa sangka dengan hanya berbekalkan ‘resipi rahsia’ pembuatan sate peninggalan arwah bapanya dan di samping program khidmat bimbingan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akhirnya menjadi sumber rezeki kepada Noorhasyimah Abdul Aziz, 35 tahun.
Ia secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada Noorhasyimah untuk mengembangkan lagi operasi perniagaan Sate Barchot’s miliknya yang telah diusahakan sejak 2018 agar jenama berkenaan dapat dikenali dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat di Johor.
Mengimbas kembali pembabitannya dalam dunia perniagaan, beliau mula mendapatkan khidmat bimbingan daripada MAINJ menerusi Program Kotej Halal yang membantu meningkatkan kualiti, kredibiliti dan kebolehpasaran produk, khususnya bagi usahawan kecil seperti dirinya yang menjalankan operasi perniagaan dari rumah.
Selain menerima bimbingan tersebut, ibu kepada empat orang anak itu turut menerima bantuan Modal Berdikari berjumlah RM5,000 daripada MAINJ.
Bantuan berkenaan digunakan sebagai modal perniagaan serta membiayai pelbagai kos operasi, sekali gus membolehkan perniagaan Sate Barchot’s terus berkembang dan mempunyai pelanggan tetap terutama pada musim perayaan.
Inisiatif dan sokongan berterusan MAINJ dalam membantu golongan asnaf meningkatkan taraf hidup serta keluar daripada kepompong kemiskinan menjadi pembakar semangat buat beliau untuk terus mengembangkan perniagaan tersebut ke tahap yang lebih tinggi.
Melalui Belanjawan Johor 2026 di bawah Teras Kedua: Pembangunan Ekonomi, Kerajaan Johor telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 yang dikhususkan bagi membantu usahawan Muslim untuk mendapatkan pensijilan halal, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha mikro dan industri kotej untuk meningkatkan kredibiliti produk serta memperluas pasaran mereka.
Untuk rekod, pada tahun 2025 hingga kini, MAINJ telah menaja seramai 139 usahawan asnaf dan mikro yang berjaya memperoleh pensijilan halal termasuk peserta yang masih dalam bimbingan menerusi Program Usahawan Halal Kotej.
Program ini turut membantu peserta dalam urusan pendaftaran dan penyediaan dokumentasi sehingga produk yang diusahakan memenuhi keperluan pensijilan halal.
#JohorSafeZone
#MAINJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



