JOHOR PERKUKUH PERSIAPAN HADAPI SUPER EL NINO, 5 DAERAH DIBERI TUMPUAN

Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh persiapan menghadapi kemungkinan fenomena Super El Nino dari pertengahan Januari hingga pertengahan Mac 2027 dengan memberi tumpuan kepada lima daerah, susulan penyusutan paras air di enam empangan serta 13 daripada 47 Loji Rawatan Air (LRA) yang berpotensi terjejas sekiranya kemarau berterusan. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus memperkukuh persiapan bagi menghadapi kemungkinan fenomena Super El Nino yang dijangka turut memberi kesan kepada keadaan cuaca dan sumber bekalan air negeri, khususnya dalam tempoh kritikal bermula pada pertengahan Januari hingga pertengahan Mac 2027.
Lima daerah yang telah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan pemantauan dan langkah mitigasi ialah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang dan Segamat berikutan kedudukan kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan kepada penduduk.
Berdasarkan pemantauan awal, sebanyak enam empangan dikenal pasti mengalami penyusutan paras air, sekali gus menjadikan 13 daripada keseluruhan 47 Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini yang akan diberi perhatian ekoran berpotensi terjejas sekiranya keadaan kemarau berterusan, jelas YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur Dan Komunikasi Negeri Johor.
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan turut merangka pelan mitigasi dengan mengenal pasti sumber air alternatif termasuk pelepasan air empangan ke sungai, penggunaan pam dan pontoon serta pengambilan air daripada kolam milik individu atau syarikat sekiranya diperlukan.
Usaha untuk memperkukuh keupayaan bekalan air turut dilaksanakan menerusi peningkatan kapasiti loji penyahgaraman di kawasan Lok Heng daripada dua juta liter sehari (MLD) kepada empat MLD bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber air sungai yang terjejas akibat perubahan paras air dan tahap kemasinan.
Sebanyak 283 tangki air statik di lokasi strategik yang mudah diakses penduduk turut dikenal pasti, selain sokongan 38 lori tangki bagi memastikan bekalan air berkenaan dapat disalurkan secara berterusan bagi menghadapi kemungkinan kekurangan bekalan yang lebih serius, selain pelan kontingensi lain termasuk pelaksanaan bekalan air berjadual mengikut zon serta kaedah catuan air.
Kerajaan Negeri turut merancang untuk mendapatkan bantuan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dari tempoh November tahun ini hingga Jun 2027 berdasarkan keadaan cuaca dan pengaruh Monsun Timur Laut (MTL) semasa.
Pada masa sama, rakyat turut diseru memainkan peranan dengan mengurangkan penggunaan air sekurang-kurangnya 20 peratus, khususnya bagi aktiviti yang tidak memerlukan air terawat, sekali gus membantu mengurangkan pengambilan air daripada empangan dan memanjangkan ketahanan sumber bekalan air negeri.
#JohorSafeZone
#SuperElNino
#AirJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


