MUZIUM TOKOH JOHOR DIBUKA 5 JUN INI

Muzium Tokoh Johor akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 5 Jun sebagai pusat warisan dan pendidikan yang memaparkan sejarah serta sumbangan tokoh-tokoh terbilang Johor. | Foto Yayasan Warisan Johor

 

#IskandarPuteri – Setelah sekian lama dinantikan, Muzium Tokoh Johor kini akan dibuka semula kepada umum bermula 5 Jun sebagai destinasi warisan dan pendidikan baharu yang mengetengahkan kisah perjuangan, kepimpinan serta sumbangan tokoh-tokoh terbilang di Negeri Johor.

 

Pembukaan muzium ini menjadi satu lagi usaha berterusan Kerajaan Johor dalam memelihara khazanah sejarah serta legasi tokoh-tokoh negeri agar terus dikenali dan dijadikan sumber inspirasi kepada generasi masa kini dan akan datang, sekali gus memperkukuh jati diri Bangsa Johor.

 

Bangunan warisan yang kini dibangunkan menjadi muzium ini telah melalui proses pemuliharaan dan kerja naik taraf bagi memastikan kemudahannya lebih kondusif, mesra pengunjung serta mengekalkan nilai sejarah dan seni bina asalnya, serta menampilkan pendekatan pameran moden melalui penggunaan teknologi interaktif, visual multimedia dan koleksi arkib bersejarah.

 

Pelbagai galeri disediakan merangkumi bidang pentadbiran, politik, pendidikan, kesusasteraan, ekonomi, sukan serta pembangunan negeri bagi memberi gambaran menyeluruh mengenai sumbangan tokoh-tokoh Johor dalam pembangunan negeri ini.

 

Pengunjung warganegara boleh menikmati harga promosi istimewa bermula 5 Jun hingga 4 Julai ini dengan tawaran tiket masuk pada kadar RM10 bagi dewasa, RM2 bagi warga emas serta kanak-kanak dan pelajar berumur dua hingga 17 tahun, manakala kemasukan percuma kepada kanak-kanak di bawah umur dua tahun serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

 

Bagi pelawat bukan warganegara pula, kadar tiket yang ditetapkan ialah RM100 bagi dewasa dan RM30 bagi warga emas serta kanak-kanak atau pelajar berumur dua hingga 17 tahun.

 

Muzium Tokoh Johor akan beroperasi setiap Selasa hingga Ahad dari jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala pada hari Jumaat, waktu operasi adalah dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung semula dari jam 3 petang hingga 6 petang.

 

#JohorSafeZone
#MuziumTokohJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor