NOSTALGIA DULU-DULU CETUS KREATIVITI SENI


Dr. Fasehah Abdullah mencurahkan kreativitinya atas kanvas menghasilkan karya seni lukisan konsol permainan pita video yang telah mewarnai zaman kanak-kanak suatu ketika dahulu. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Bagi mereka lahir antara tahun 80 dan 90-an mesti mengenali malah pernah merasai pengalaman bermain permainan video arked serta konsol permainan pita video yang telah mewarnai zaman kanak-kanak suatu ketika dahulu.

 

Mengambil inspirasi permainan video yang pernah menjadi kegilaan kanak-kanak suatu masa dahulu, Dr. Fasehah Abdullah mencurahkan kreativitinya atas kanvas menghasilkan karya seni lukisan yang menjadi tarikan umum.

 

Pensyarah Kolej Universiti Selatan berusia 36 tahun tersebut akui cuba bereksperimen dengan menggabungkan kepakaran dalam permainan video dan seni halus menerusi karya seni lukisan.

 

Lebih unik, karya tersebut yang menekankan penerimaan generasi masa kini menggunakan teknologi ‘augmented reality’ (AR) bagi membolehkan orang ramai berinteraksi bersama lukisan menerusi permainan video dihasilkan.

 

Fasehah berasal dari Pasir Gudang berharap mesej disampaikan menerusi karyanya dapat dihayati selain akan ada individu menyambung legasi seninya yang disifatkan masih segar dan relevan selari era pada ketika ini.

 

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga memaklumkan karya yang dicipta bukan bersifat keuntungan, sebaliknya hanya mahu mengetengahkan seni lukisan dari perspektif berbeza bagi menyelami minat generasi sekarang.

 

Sudah berkecimpung dengan dunia seni lukisan sejak kecil, Fasehah juga kini mula berjinak-jinak malah aktif dalam menyertai pameran antaranya Karya Pelukis Wanita: Lentera dan Seroja anjuran Yayasan Warisan Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor